Skip to main content

Dunia

Aktivis India tamatkan mogok lapar selepas 26 hari

Just now in the presence of Union Ministers Sh. JP Nadda, Dr. Jitendra Singh and the senior leaders of Apex Body of Leh Ladakh I finally broke my fast after 26 days. Earlier 65 members of parliament from different political parties had visited or signed letters urging me to break the fast. This was done after long negotiations on various conditions and in view of possible violence in the country. I will explain the conditions in detail in a separate video very soon. Meanwhile I urge you all to stay very vig
Sonam Wangchuk menetapkan beberapa syarat sebelum menamatkan mogok lapar tersebut, termasuk jaminan daripada pihak berkuasa bahawa kekerasan tidak akan digunakan terhadap penunjuk perasaan.

NEW DELHI: Aktivis terkenal India, Sonam Wangchuk menamatkan mogok laparnya selepas berpuasa selama 26 hari sebagai tanda solidariti terhadap gerakan belia yang menuntut reformasi sistem pendidikan negara itu.

Menerusi hantaran di platform X, Wangchuk yang lebih dikenali sebagai “Sonam Sir”, berkata, beliau membuat keputusan tersebut selepas melalui “rundingan panjang mengenai pelbagai syarat” serta bagi mengelakkan berlakunya “kemungkinan keganasan dalam negara”.

Wangchuk, 59, melancarkan mogok lapar itu bagi menyokong Cockroach Janta Party (CJP), sebuah gerakan yang turut menuntut peletakan jawatan Menteri Pendidikan India, Dharmendra Pradhan.

Sebelum ini, beliau memaklumkan telah kehilangan kira-kira 11 kilogram sepanjang mogok lapar itu namun menegaskan, dirinya masih berada dalam keadaan stabil. 

Wangchuk turut ditahan dan dibawa secara paksa dari lokasi protes di New Delhi pada Sabtu lalu sebelum menerima rawatan di hospital.

Menurut laporan NDTV, Wangchuk menamatkan mogok laparnya selepas kerajaan memberi jaminan bahawa tiada tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap penunjuk perasaan yang berkhemah di tapak protes Jantar Mantar.

Beberapa menteri persekutuan termasuk Menteri Kesihatan dan Menteri Kerajaan Negeri dilaporkan turut melawat Wangchuk ketika beliau dirawat di hospital.

Mengulas keputusan itu, pengasas CJP, Abhijeet Dipke berkata, pihaknya berasa lega dan bersyukur kerana Wangchuk akhirnya menghentikan mogok lapar selepas hampir sebulan.

Namun, katanya, protes aman yang dianjurkan parti itu di Jantar Mantar akan diteruskan sehingga Dharmendra Pradhan meletakkan jawatan.

Protes terus berlangsung

Demonstrasi besar-besaran di ibu negara India masih berterusan meskipun berlaku tindakan keras polis terhadap perarakan menuju ke Parlimen pada Isnin lalu yang menyebabkan ramai penunjuk perasaan dan anggota keselamatan cedera.

CJP kini muncul sebagai antara gerakan belia paling menonjol di India dan dilihat sebagai salah satu bentuk bantahan awam terbesar terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi yang memerintah sejak 2014.

Gerakan itu bermula pada Mei lalu sebagai kempen satira dalam talian bagi membantah kebocoran soalan peperiksaan serta pelbagai dakwaan penyelewengan dalam peperiksaan utama negara.

Sejak itu, CJP memperoleh sokongan meluas di media sosial dengan para anggotanya menggelarkan diri mereka sebagai “lipas” atau cockroaches.

Golongan penunjuk perasaan telah mengadakan demonstrasi selama lebih sebulan, malah sebahagian daripada mereka turut melancarkan mogok lapar.

Mereka menuntut peletakan jawatan Dharmendra Pradhan susulan pembatalan satu peperiksaan kemasukan utama bagi calon perubatan pada awal Mei selepas berlaku kebocoran kertas soalan.

Menurut mereka, menteri berkenaan perlu mengambil tanggungjawab moral terhadap insiden itu dan berundur daripada jawatannya. - Agensi

 

Must Watch Video

Advertisement