Skip to main content

Malaysia

Melaka terima peruntukan RM9.8 juta dana EFT bagi pemuliharaan biodiversiti - Arthur

Ab Rauf Yusoh
Arthur menyerahkan cek cura peruntukan ketika kunjungan hormat kepada Ab Rauf di Kompleks Seri Negeri, hari ini. - Gambar Facebook Ab Rauf Yusoh

MELAKA: Melaka menerima peruntukan berjumlah RM9.801 juta di bawah inisiatif dana Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) tahun ini bagi memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti dan kelestarian alam sekitar di negeri itu.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata cek cura peruntukan itu diserahkan ketika kunjungan hormat beliau kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

“Penyaluran dana EFT 2026 dilaksanakan secara berfasa dengan pembayaran pertama berjumlah RM1.206 juta pada Februari lepas, manakala baki RM8.595 juta disalurkan pada bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Arthur berkata kerajaan Persekutuan turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Melaka atas pencapaian cemerlang membelanjakan 100 peratus peruntukan EFT yang diterima sebelum ini.

Beliau berkata antara kejayaan hasil penggunaan peruntukan itu ialah pembangunan dosier bagi 15 geotapak di Melaka sebagai persediaan mendapatkan pengiktirafan Geopark Kebangsaan.

Dalam pada itu, Arthur berkata Melaka secara rasmi dipilih sebagai tuan rumah Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Kebangsaan 2026 yang dijadual berlangsung pada pertengahan September ini.

Katanya, penganjuran HASN 2026 akan menjadi platform untuk meningkatkan pendidikan dan kesedaran alam sekitar dalam kalangan masyarakat selain mengiktiraf sumbangan pelbagai pihak dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Sistem e-Tanah Negeri Melaka yang dilaksanakan secara Kerjasama Awam Swasta (KAS) mula beroperasi secara rasmi pada 18 Jun lepas sebelum dibuka kepada orang awam pada 22 Jun.

Katanya, sehingga 30 Jun lepas, sistem itu merekodkan sebanyak 8,133 transaksi, manakala kementeriannya akan terus memantau pelaksanaan tersebut sehingga tamat tempoh konsesi pada 2039 bagi memastikan penyampaian perkhidmatan pentadbiran tanah yang pantas, telus dan cekap kepada rakyat Melaka.

Turut hadir pada sesi kunjungan hormat itu Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Anis Rizana Zainudin serta barisan pengurusan tertinggi kementerian dan jabatan.

— BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement