Skip to main content

Malaysia

Dua termasuk bapa ditahan bantu siasatan kes bunuh kanak-kanak lelaki pada 2023

JOHOR BAHRU, 28 Julai -- Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.  Sindiket penipuan dalam talian beroperasi di Forest City tumpas, 335 individu termasuk 309 warga China ditahan dengan rampasan RM1 juta.  --fotoBERNAMA
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini. - Foto Bernama

JOHOR BAHRU: Polis menahan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia 18 bulan yang berlaku pada 2023. 

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata suspek berusia 40 tahun ialah bapa manakala suspek 35 tahun bapa saudara kepada mangsa, ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)  Seri Alam pada 18 dan 22 Julai. 

“Penahanan dibuat susulan dapatan baharu dalam kes itu selain penemuan video dan gambar lucah dalam telefon bimbit yang dirampas daripada suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Ab Rahaman berkata bapa mangsa akan dituduh di bawah Seksyen 302 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Johor Bahru manakala seorang lagi suspek akan menjadi saksi pendakwaan.

Beliau berkata mangsa meninggal dunia pada 10.40 pagi 13 Sept 2023 akibat kesan trauma di bahagian perut serta disyaki dipukul dan diliwat.

Doktor di Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Ismail membuat laporan berkaitan kematian mangsa selepas mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian pinggang, gelembung di perut dan bengkak di bahagian dubur kanak-kanak itu.

Ab Rahaman berkata mangsa dibawa ke hospital oleh bapanya yang bekerja sebagai buruh di Singapura, dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Beliau berkata semasa itu, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan beberapa individu termasuk ahli keluarga dan keluarga pengasuh mangsa dipanggil untuk membantu siasatan, namun polis tidak mempunyai asas yang cukup untuk menahan mana-mana individu.

Beberapa sampel darah turut diambil bagi tujuan ujian asid deoksiribonukleik (DNA), namun ujian itu gagal mengesan suspek selain kesan cecair dipercayai air mani pada bahagian dubur mangsa tidak dapat dianalisis.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement