Skip to main content

Malaysia

Dua anggota Malbatt cedera ringan akibat tempias serangan udara di selatan Lubnan

SUBANG, 6 Nov -- Anggota Malaysian Battalion (MALBATT) bersiap sedia pada majlis penghantaran Kumpulan Pertama Malaysian Battalion (MALBATT) 850-12 ke Lubnan di Pengkalan Udara Subang, hari ini.  --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
Kedua-dua anggota yang cedera telah menjalani pemeriksaan perubatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil, ujar Khaled.

KUALA LUMPUR: Dua anggota Batalion Malaysia (Malbatt) 850-13 cedera ringan akibat kesan sampingan daripada satu insiden serangan udara yang berlaku di kawasan berhampiran Haris selatan Lubnan pagi ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata insiden tersebut berlaku pada jam 9.25 pagi waktu tempatan, kira-kira satu kilometer di barat Pangkalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNP) 6-43 di kawasan Tibnin.

Menurutnya kejadian tersebut melibatkan konvoi logistik batalion tersebut yang sedang melaksanakan misi ulang bekal rutin menuju ke Tyre.

“Akibat kejadian tersebut, dua anggota terkena serpihan cermin kenderaan dan mengalami kecederaan ringan, manakala dua kenderaan PBB mengalami kerosakan material luaran,” katanya melalui kenyataan yang disiarkan hari ini.

Sejurus selepas kejadian, Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) Malbatt 850-13 dari UNP 6-43 telah diaktifkan dengan sokongan pasukan perubatan dan elemen logistik bagi membantu anggota terlibat serta menguruskan pemulihan kenderaan (vehicle recovery) yang terjejas kembali ke pangkalan.

Menurut Khaled, pasukan yang tiba di lokasi telah melaksanakan penilaian keselamatan, memeriksa keadaan anggota dan kenderaan sebelum mengatur pergerakan konvoi kembali ke pangkalan dengan selamat.

“Kedua-dua anggota yang cedera telah menjalani pemeriksaan perubatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Tiada kecederaan serius atau kehilangan nyawa dilaporkan,” katanya lagi.

Beliau turut mengesahkan telah menghubungi waris-waris mangsa untuk memaklumkan keadaan sebenar.

Pada masa sama, Khaled berkata langkah susulan diambil untuk memperkukuh keselamatan anggota, MALBATT 850-13.

Antaranya peningkatan langkah berjaga-jaga, memperketat prosedur pergerakan konvoi, mempertingkat pemantauan situasi keselamatan semasa, memperkukuh koordinasi dengan pihak UNIFIL dan melaksanakan penilaian risiko menyeluruh sebelum pergerakan di kawasan operasi.

 


 

Must Watch Video

Advertisement