Skip to main content

Malaysia

KKM akan hubungi graduan PharmD, pertimbang kelayakan

UNIVERSITI ALEXANDRIA
KKM akan membuat pertimbangan ke atas kelayakan individu pelajar yang terjejas berdasarkan peruntukan di bawah Akta 371. - Gambar Fakulti Farmasi Universiti Alexandria

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempertimbangkan kelayakan graduan program farmasi Universiti Alexandria, Mesir yang terjejas susulan isu pengiktirafan program baharu universiti berkenaan.

Menurut KKM, pertimbangan itu akan dibuat berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 (Akta 371) bagi memastikan kepentingan pelajar terlibat terus diberi perhatian.

“Pelajar yang terlibat akan dihubungi segera untuk mengemukakan permohonan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kenyataan itu turut menjelaskan, penilaian awal kelayakan individu pelajar melalui semakan transkrip akademik dan dokumen sokongan yang dikemukakan akan dijalankan untuk pertimbangan lanjut Lembaga Farmasi Malaysia (LFM).

“Walau bagaimanapun, usaha ini tidak mengetepikan keperluan untuk mengiktiraf program farmasi baharu mengikut tatakelola yang telah ditetapkan bagi memastikan hanya program farmasi yang menepati standard diberi pengiktirafan,” jelas kenyataan itu.

KKM turut mengesahkan kerjasama bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), melalui Education Malaysia Mesir (EMM) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). 

"Langkah tersebut bertujuan untuk terus membantu dan memudah cara proses permohonan pengiktirafan program farmasi Universiti Alexandria.

"Pada masa sama, pihak KKM turut mengambil maklum kebimbangan yang dibangkitkan berhubung status pengiktirafan program tersebut.

“Sejak isu ini dikenal pasti, KKM telah melaksanakan pelbagai usaha termasuk libat urus dengan pihak berkepentingan dan pihak universiti bagi membolehkan proses penilaian program dilaksanakan,” jelas kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, Universiti Alexandria sebelum ini menawarkan program Bachelor of Pharmaceutical Science dan Bachelor of Pharmacy (Clinical Pharmacy) yang telah diiktiraf oleh LFM.

"Bagaimanapun, pada tahun 2019 universiti tersebut telah menggantikan program berkenaan dengan Bachelor of Pharmacy – PharmD dan Bachelor of Pharmacy – PharmD (Clinical Pharmacy) yang mempunyai struktur kurikulum berbeza.

"Kedua-dua program itu masih belum melalui proses penilaian serta pengiktirafan oleh LFM, selaku badan kawal selia yang bertanggungjawab terhadap pendaftaran dan amalan profesion farmasi di bawah Akta 371," jelas kenyataan itu.

Sebelum ini media melaporkan empat pelajar terbabit tidak dapat menduduki peperiksaan ‘Poison Law’ pada tahun lalu ketika berada di tahun keempat pengajian susulan program yang diikuti mereka tidak diiktiraf oleh LFM.

Must Watch Video

Advertisement