Skip to main content

Malaysia

Isu iktiraf program farmasi Mesir: KKM pertimbang kelayakan pelajar ikut Akta 371

71707723003_LogoKKM.jpg
Menurut KKM, pelajar yang terlibat akan dihubungi untuk segera mengemukakan permohonan.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempertimbangkan kelayakan pelajar yang terjejas dalam isu status pengiktirafan program farmasi di Universiti Alexandria, Mesir, berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 (Akta 371).

Dalam kenyataan hari ini, KKM memaklumkan kepentingan pelajar terlibat diberi perhatian sewajarnya tanpa menjejaskan standard profesional dan kompetensi yang ditetapkan untuk berdaftar serta mengamalkan farmasi di Malaysia.

Menurut KKM, pelajar yang terlibat akan dihubungi untuk segera mengemukakan permohonan.

“Penilaian awal kelayakan pelajar melalui semakan transkrip akademik dan dokumen sokongan yang dikemukakan, akan dijalankan untuk pertimbangan lanjut Lembaga Farmasi Malaysia,” menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan, usaha itu juga tidak mengetepikan keperluan untuk mengiktiraf program farmasi baharu mengikut tatakelola yang telah ditetapkan bagi memastikan hanya program farmasi yang menepati standard diberi pengiktirafan.

“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), melalui Education Malaysia Mesir (EMM) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) akan terus membantu dan memudah cara proses permohonan pengiktirafan program farmasi Universiti Alexandria,” menurutnya.

KKM menjelaskan sejak isu itu dikenal pasti, kementerian telah melaksanakan pelbagai usaha termasuk libat urus dengan pihak berkepentingan dan pihak universiti bagi membolehkan proses penilaian program dilaksanakan.

Menurut kementerian itu, Universiti Alexandria sebelum ini menawarkan program Bachelor of Pharmaceutical Science dan Bachelor of Pharmacy (Clinical Pharmacy) yang telah diiktiraf oleh Lembaga Farmasi Malaysia (LFM).

Bagaimanapun menurut kenyataan itu, pada 2019 universiti tersebut telah menggantikan program berkenaan dengan Bachelor of Pharmacy - PharmD dan Bachelor of Pharmacy-PharmD (Clinical Pharmacy), yang mempunyai struktur kurikulum berbeza dan belum melalui proses penilaian serta pengiktirafan oleh LFM selaku badan kawal selia yang bertanggungjawab ke atas pendaftaran dan amalan profesion farmasi berdasarkan Akta 371.

Sebelum ini, media melaporkan empat pelajar program itu tidak dapat menduduki peperiksaan Poison Law pada tahun lepas ketika berada di tahun keempat pengajian susulan program yang diikuti mereka tidak diiktiraf oleh LFM.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement