Skip to main content

Dunia

Pengadil Somalia yang dinafikan kemasukan ke AS dipilih adili Piala Super EUFA

[TB]_omar artan_AP
Omar Artan disambut meriah oleh para penyokongnya sewaktu kembali ke Mogadishu pada 10 Jun. - AP

BERLIN: Pengadil Somalia Omar Artan, yang sebelum ini dinafikan kemasukan ke Amerika Syarikat (AS) untuk mengadili kejohanan Piala Dunia dipilih untuk mengendalikan perlawanan Piala Super UEFA pada Ogos ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Badan bola sepak Eropah, UEFA pada Khamis mengumumkan bahawa Artan akan menjadi pengadil bagi perlawanan pada 12 Ogos di Salzburg antara juara Liga Juara-Juara, Paris Saint-Germain dan juara Liga Europa, Aston Villa.

Artan dinobatkan sebagai Pengadil Terbaik Afrika 2025 dan UEFA berkata keputusan pelantikannya dibuat selepas perbincangan dengan konfederasi bola sepak Afrika.

“Bola sepak diwujudkan untuk menghubungkan manusia dan UEFA mahu menunjukkan penghormatan kepada Omar serta kemahiran pengadilannya yang cemerlang, yang melayakkan beliau menerima pencalonan berprestij ini,” kata Presiden UEFA Aleksander Ceferin.

“Omar Artan ialah seorang pengadil muda yang cemerlang tetapi sudah berpengalaman, yang  membuktikan kemampuannya di peringkat pertandingan tertinggi Konfederasi Bola Sepak Afrika.”

Artan sepatutnya menjadi seorang daripada tujuh pengadil Piala Dunia dari Afrika.

Beliau tiba di lapangan terbang Miami di AS dengan dokumen perjalanan yang sah, namun kemudian disoal siasat selama beberapa jam oleh pegawai Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS. Selepas itu, CBP menolak kemasukannya dan menghantarnya pulang ke Istanbul, lokasi beliau berlepas sebelum tiba di AS.

Menurut laporan CNN, seorang pegawai pentadbiran Presiden AS Donald Trump, memaklumkan bahawa proses saringan menemui “maklumat negatif termasuk kaitan dengan individu yang disyaki anggota organisasi pengganas.”

Badan induk bola sepak dunia, FIFA yang pada asalnya memilih Artan, berkata pihaknya tidak mempunyai kuasa dalam urusan imigresen.

Presiden FIFA Gianni Infantino berkata pada Rabu: “Kami tidak mengawal segala-galanya. Kami cuba berbincang dan berkomunikasi. Kadang-kadang ada baiknya juga untuk bertenang.”

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement