Skip to main content

Malaysia

KPKT kumpul input strata baharu, teliti pinda Akta 757 

SHAH ALAM, 11 Jun -- Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu (dua kanan) bersalaman bersama peserta pada Majlis Perasmian Persidangan Strata 2026: Ke Arah Pengurusan Strata Kelas Pertama di sebuah hotel di Seksyen 7 Shah Alam hari ini.  -- fotoBERNAMA
Aiman Athirah (dua kanan) bersalaman bersama peserta pada Majlis Perasmian Persidangan Strata 2026: Ke Arah Pengurusan Strata Kelas Pertama di sebuah hotel di Seksyen 7 Shah Alam hari ini. - Gambar Bernama

SHAH ALAM: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mengumpul input serta maklum balas pelbagai pihak, termasuk menerusi Persidangan Strata 2026: Ke Arah Pengurusan Strata Kelas Pertama yang berlangsung hari ini, bagi menyemak semula Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata langkah itu, bagi memastikan perundangan berkenaan kekal relevan dengan perkembangan pesat industri hartanah dan keperluan semasa pengurusan bangunan kediaman bertingkat.

“Akta 757 yang diwujudkan sejak tahun 2013 itu, kini memerlukan pindaan yang komprehensif bagi disesuaikan dengan keperluan semasa, ekoran pertambahan drastik populasi penduduk dan ruang tanah yang semakin terbatas.

“Kita sedang pada peringkat menyemak semula dan konvensyen hari ini akan memberikan input kepada kita pada peringkat Jabatan Perumahan Negara khususnya dan kementerian, tentang apa lagi yang mungkin kita perlu lihat dalam usaha kita membuat pindaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan persidangan anjuran Pejabat Pesuruhjaya Bangunan (COB) Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) itu yang melibatkan kira-kira 130 peserta dan pakar industri dari seluruh negara.

Dalam pada itu, Aiman Athirah berkata pertambahan projek perumahan berstrata saban tahun, menunjukkan gaya hidup komuniti strata semakin menjadi sebahagian daripada landskap pembangunan negara, sekali gus memerlukan pengurusan yang cekap bagi memastikan kelestarian bangunan serta pemeliharaan nilai hartanah.

“Landskap pengurusan strata bagi tahun 2026, wajib bergerak seiring dengan amanat Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar) iaitu ‘Mempercepat Pelaksanaan, Memperhebat Reformasi’ melalui sistem berasaskan digital dan responsif.

“Langkah reformasi itu termasuklah penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Pemberian Elaun Ahli Jawatankuasa (AJK) Badan Pengurusan Berstrata bermula 3 Jun 2026, yang digubal bagi mengatasi ketidakseragaman kriteria penilaian serta membendung risiko penyusutan dana penyelenggaraan bangunan,” katanya.

Mengenai dakwaan isu tapak pembinaan yang dihuni etnik Rohingya di Selangor, beliau berkata perkara itu tiada kaitan dengan perundangan atau sistem tadbir urus bangunan berstrata yang sedang diperkasakan oleh kementerian.

“Sebenarnya isu itu tidak ada kaitan dengan strata. Saya percaya telahpun dijawab oleh Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) dan biarkan mereka mengendalikannya,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement