KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengancam untuk melaksanakan operasi serangan besar-besaran ke atas Iran pada malam ini.
Trump berkata pasukan tentera Amerika akan memusnahkan keseluruhan sistem pertahanan Iran, termasuk angkatan laut, udara, radar dan pertahanan antipesawat yang didakwanya sebahagian besar telah dimusnahkan.
“Amerika Syarikat akan melancarkan serangan yang ‘sangat dahsyat’ terhadap Iran malam ini,” katanya menerusi hantaran Truth Social hari ini.
Trump turut menyatakan hasrat untuk merampas Pulau Kharg, sebuah pulau strategik yang terletak kira-kira 500 kilometer dari Selat Hormuz dan menempatkan terminal eksport minyak terbesar Iran seperti yang dilakukan ke atas Venezuela pada Januari lalu.
Pulau tersebut merupakan nadi utama industri tenaga negara itu, dengan sekitar 90 peratus eksport minyak mentah Iran melalui kemudahan berkenaan sebelum dihantar ke pasaran antarabangsa.
“Pada suatu ketika dalam masa terdekat, kami akan mengambil alih Pulau Kharg serta beberapa lagi kemudahan infrastruktur minyak, dan menguasai sepenuhnya pasaran minyak dan gas mereka,” katanya.
Hari ini, pasukan bersenjata Iran telah melancarkan serangan ke atas pangkalan tentera AS di Bahrain, Kuwait dan Jordan serta menyasarkan dua buah kapal di Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap gelombang baharu serangan AS pada Rabu.
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya melancarkan serangan dron ke atas Pangkalan Udara Sheikh Isa di Bahrain serta Pangkalan Udara Ali Al Salem dan Ahmad Al-Jaber di Kuwait pada awal pagi Khamis.