KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengumumkan rombakan besar dalam skuad beregu lelaki negara yang menyaksikan beberapa gandingan utama dipecahkan dan disusun semula bersama pasangan baharu bagi mencari gandingan mantap menjelang kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028) tahun hadapan.
Antara perubahan paling mencuri tumpuan ialah Soh Wooi Yik yang akan digandingkan dengan Man Wei Chong bagi menghadapi saingan Terbuka Jepun yang dijadual berlangsung pada Julai ini.
Bagi siri kejohanan seterusnya iaitu Terbuka China, Terbuka Korea dan Terbuka Taiwan, BAM turut menetapkan beberapa kombinasi baharu melibatkan pemain kebangsaan.
Aaron Chia akan bergandingan dengan Aaron Tai, manakala Tee Kai Wun akan berpasangan dengan Yap Roy King.
Selain itu, Wan Arif Wan Junaidi akan membentuk gandingan bersama Khang Kai Xing, sementara pasangan Wooi Yik-Wei Chong turut disenaraikan untuk mengharungi ketiga-tiga kejohanan berkenaan.
Bagi kejohanan jelajah Eropah pula yang dijangka berlangsung Oktober ini, Aaron Chia akan digandingkan bersama Kai Wun
Pengarah kejurulatihan beregu Rexy Mainaky berkata keputusan berkenaan dilakukan bagi memastikan impian emas Olimpik pertama negara dapat direaliasikan.
“Kita mengharapkan dengan scratch pair ini bukan sahaja dapat melahirkan ramai beregu hebat, tetapi untuk kita tampilkan di LA2028, sebab kita bukan berbicara mengenai pingat sahaja tetapi break-through untuk mendapatkan pingat emas di Olimpik.
“Jadi, saya sudah berbincang dengan Herry dan Datuk Seri Lee Chong Wei supaya kita harus berani dalam membuat pertukaran pasangan,” katanya menerusi video yang dikongsi BAM hari ini.
Mengulas mengenai pemilihan pasangan baharu, Rexy berkata ia dibuat berdasarkan keperluan pemain.
“Bila buat keputusan, kita tidak boleh lihat kepada satu individu sahaja tetapi bagaimana keperluan antara satu sama lain pasangan berkenaan.
“Itu antara kriteria yang kita ambil sebelum buat gandingan baharu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata gandingan yang diwujudkan itu dijangka akan berubah memandangkan ia masih dalam fasa penilaian.
“Pada peringkat awal, kita tidak boleh terus mengharapkan keputusan yang sempurna. Tetapi jurulatih boleh melihat sama ada perjalanan pasangan itu menjanjikan sesuatu untuk masa depan,” katanya.
Rexy dalam masa sama tidak menolak kemungkinan akan menggunakan formula yang sama bagi sektor beregu wanita dan campuran.
“Kenapa tidak? memang ada perbincangan bersama Rosman Razak (ketua jurulatih beregu wanita dan Nova Widianto (ketua jurulatih beregu campuran.
“Kita tidak perlu takut untuk membuat perubahan kerana ia bukan eksperimen semata-mata, tetapi berdasarkan pemerhatian jurulatih terhadap kemampuan dan keserasian pemain dalam latihan serta pertandingan,” katanya.
-- BERNAMA