Skip to main content

Malaysia

DAP sokong RUU pengasingan peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya - Anthony Loke

KUALA LUMPUR, 17 Mac -- Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (tengah) bercakap pada sidang media selepas menyampaikan edaran pek Hari Raya Aidilfitri 2026 kepada penumpang KTMB di Stesen Sentral Kuala Lumpur hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
DAP juga, kata Anthony Loke, komited untuk menyokong agenda reformasi institusi yang dilaksanakan Kerajaan MADANI. - Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: DAP hari ini menyatakan komitmen untuk menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang telah dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, perkara itu adalah antara yang diputuskan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang bermesyuarat malam tadi.

Beliau berkata, RUU berkenaan dijadualkan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula pada 22 Jun ini.

“DAP menyatakan komitmen untuk memastikan sokongan undi belah bahagi daripada kesemua 40 Ahli Parlimen DAP serta menyeru semua Ahli Parlimen untuk memastikan Pindaan Perlembagaan yang bersejarah ini dapat direalisasikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, DAP turut komited untuk menyokong agenda reformasi institusi yang dilaksanakan Kerajaan MADANI. 

Pada 5 Mei lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu dilaksanakan bagi memastikan institusi pendakwaan lebih bebas serta memperkukuh akauntabiliti.

Beliau berkata, pengasingan peranan itu juga membolehkan Peguam Negara dipertanggungjawabkan secara terus di Parlimen tanpa bergantung pada jawapan melalui menteri.

Azalina berkata, langkah itu dapat meningkatkan ketelusan sistem perundangan negara apabila Peguam Negara tidak lagi diwakili oleh pihak lain dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, sekali gus memperkukuh prinsip semak dan imbang institusi. 

Pada 3 Mac, Dewan Rakyat bersetuju RUU berkenaan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas, yang dianggotai Azalina sendiri sebagai Pengerusi serta 11 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang, untuk memberikan ruang kepada semua pihak berkaitan memperhalus dan menelitinya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement