KUALA LUMPUR: Alkhair Malaysia menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik di selatan Thailand agar segera menghentikan keganasan dan kembali ke meja rundingan.
Gesaan itu dibuat susulan serangan di sebuah pusat pemeriksaan di daerah Ra-ngae, Narathiwat, yang dilaporkan mengorbankan lima anggota renjer Thailand.
Dalam kenyataannya, ia mengecam sekeras-kerasnya keganasan yang berterusan di wilayah berkenaan selain menyuarakan kebimbangan terhadap dakwaan penangkapan sewenang-wenangnya, penderaan dan pencabulan hak asasi manusia terhadap orang awam.
Menurutnya, keselamatan tidak boleh dijadikan alasan untuk menafikan hak asasi manusia, manakala sebarang tindakan terhadap orang awam mesti berlandaskan undang-undang dan prinsip keadilan.
Alkhair Malaysia turut menggesa pihak berkuasa Thailand menjalankan siasatan bebas, telus dan menyeluruh terhadap semua insiden keganasan serta dakwaan pelanggaran hak asasi manusia.
“Tiada mana-mana pihak, termasuk pihak berkuasa, boleh berada di atas undang-undang,” menurut kenyataan itu.
Alkhair Malaysia menegaskan bahawa pendekatan bersenjata dan tindakan keras semata-mata tidak akan menyelesaikan konflik yang berlarutan sebaliknya berpotensi memperdalam trauma, kebencian dan kitaran keganasan.
Sehubungan itu, kerajaan Thailand digesa mengutamakan perlindungan orang awam, penghormatan terhadap hak asasi manusia serta penyelesaian konflik melalui dialog dan rundingan.