Skip to main content

Malaysia

AI perlu kekal sebagai alat, bukan sumber autoriti dalam pembelajaran Islam - IKIM

61736871544_TBartificialintelli.jpg
Kebergantungan yang semakin meningkat terhadap panduan agama dijana AI tanpa pengesahan ilmuwan boleh menjejaskan pembelajaran agama yang sahih. - Gambar hiasan

SAMARKAND (UZBEKISTAN): Kecerdasan buatan (AI) sepatutnya kekal sebagai alat dan bukannya sumber autoriti dalam pembelajaran Islam, kata Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Madya Datuk Mohamed Azam Mohamed Adil.

Beliau mengingatkan bahawa kebergantungan yang semakin meningkat terhadap panduan agama dijana AI tanpa pengesahan ilmuwan boleh menjejaskan pembelajaran agama yang sahih.

Mohamed Azam berkata perkembangan pesat AI, platform berasaskan algoritma dan teknologi digital telah mengubah cara masyarakat mengakses maklumat agama, namun pada masa sama mewujudkan bentuk baharu kebergantungan epistemologi.

Berucap pada sesi pleno bertajuk “The Study of Imam Maturidi and the Maturidi School in the Contemporary World” sempena persidangan “The Legacy of Imam al-Maturidi: A Foundation of Moderation, Tolerance and Enlightenment” pada Khamis, beliau memperkenalkan konsep “taklid digital”.

Beliau menjelaskan konsep itu sebagai penerimaan tanpa penelitian terhadap pengetahuan agama, pandangan atau pertimbangan moral yang dijana atau diperluas penyebarannya oleh sistem digital, tanpa pengesahan ilmuwan yang sewajarnya atau pertimbangan akal secara mendalam.

“Sebaliknya, konsep itu mencadangkan suatu model akal terpandu, dengan wahyu yang menyediakan kerangka normatif, akal melaksanakan pertimbangan kritis dan teknologi hanya berfungsi sebagai alat bantuan dalam pencarian ilmu oleh manusia,” katanya.

Mohamed Azam berkata AI mampu memperluas akses kepada ilmu Islam menerusi manuskrip yang boleh dicari, pangkalan data digital serta alat bahasa.

Bagaimanapun, teknologi itu tidak mempunyai kebertanggungjawaban teologi, tanggungjawab moral dan metodologi ilmiah yang diiktiraf untuk berfungsi sebagai sumber autoriti agama.

“Umat Islam tetap bertanggungjawab dari segi moral terhadap ilmu yang mereka terima dan sampaikan,” katanya.

Beliau berkata al-Quran menekankan keperluan menyemak kesahihan maklumat sebelum menerimanya, prinsip yang terus relevan dalam era yang semakin dibentuk oleh platform berteraskan AI.

Memetik falsafah akal terpandu Imam al-Maturidi, Mohamed Azam berkata inovasi teknologi tidak seharusnya ditolak atau diterima secara membuta tuli, sebaliknya digunakan secara bertanggungjawab dalam kerangka etika dan teologi yang berteraskan wahyu serta penelitian rasional.

Sementara itu, Profesor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Shukran Abd Rahman berkata pendidikan tinggi perlu melangkaui usaha melahirkan graduan yang cekap dari segi teknikal dengan turut membentuk individu beretika yang mampu memupuk keamanan, toleransi dan keharmonian sosial.

Berucap pada sesi sama, Shukran berkata keselamatan global yang sebenar dan pembangunan mampan tidak dapat dicapai menerusi kekuatan ekonomi atau ketenteraan semata-mata, sebaliknya memerlukan pembaharuan ketamadunan dan moral yang mendalam, dipacu oleh pendidikan tinggi.

Beliau mencadangkan model pendidikan tinggi berteraskan kemanusiaan yang diinspirasikan daripada warisan intelektual Imam al-Maturidi serta sarjana Asia Tengah lain, dengan mengintegrasikan ajaran mereka dalam kurikulum universiti kontemporari bagi memperkukuh kepimpinan beretika dan persefahaman antara budaya.

Shukran berkata universiti perlu membentuk pelajar yang melihat kerjaya mereka sebagai khidmat berteraskan etika, sambil mengingatkan bahawa graduan yang memiliki kemahiran teknikal tinggi tetapi tidak mempunyai nilai seperti keadilan, empati dan integriti boleh menjadi liabiliti, bukannya aset kepada masyarakat.

Persidangan itu menghimpunkan sarjana, ahli akademik dan pembuat dasar bagi meneliti legasi berterusan Imam al-Maturidi serta meneroka bagaimana tradisi intelektual beliau dapat menangani cabaran semasa, termasuk etika digital, pendidikan, tadbir urus dan keharmonian sosial.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement