IPOH: Seawal 7 pagi, pekarangan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, lokasi penganjuran Larian Patriot Merdeka mula dipenuhi kira-kira 2,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat yang hadir bersama ahli keluarga bagi menyemarakkan semangat cintakan negara sempena Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 (MPBKKJG 2026).
Suasana bertambah meriah apabila peserta memulakan pagi dengan sesi senamrobik beramai-ramai sebelum berkumpul mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol perpaduan dan kecintaan kepada negara.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah melepaskan peserta pada 7.30 pagi untuk mengharungi larian santai sejauh 2.5 kilometer yang menyaksikan kibaran Jalur Gemilang mewarnai sepanjang laluan.
Gelagat ibu bapa yang memimpin anak-anak kecil, peserta yang mengenakan pakaian bertemakan warna Jalur Gemilang serta sorakan semangat antara peserta menyerlahkan suasana harmoni dan penuh muhibah, sekali gus menjadikan program itu sebagai wadah mengeratkan hubungan masyarakat.
Penganjuran larian berkonsepkan santai itu bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah menjadi platform memupuk semangat patriotisme melalui penglibatan komuniti tanpa mengira usia dan latar belakang.
Larian Patriot Merdeka merupakan antara pengisian awal sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM 2026), dengan penganjur berharap program seumpama itu dapat terus menyemai semangat perpaduan serta meningkatkan penghayatan terhadap erti kemerdekaan dalam kalangan rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyempurnakan perasmian pelancaran sambutan itu pada 10 pagi ini.
-- BERNAMA