Skip to main content

Dunia

Palestin beri amaran peningkatan serangan peneroka haram Israel di Tebing Barat

61766755049_TBRamallah.jpg
Serangan itu mengakibatkan rumah dan sebuah masjid dibakar, rakyat Palestin diserang, harta benda dimusnahkan, ternakan dicuri serta puluhan pokok zaitun dibakar. - Gambar fail

RAMALLAH: Jurucakap rasmi Kepresidenan Palestin Nabil Abu Rudeineh pada Ahad memberi amaran mengenai peningkatan berbahaya serangan yang dilakukan oleh peneroka haram Israel di bawah perlindungan tentera rejim Israel di beberapa kawasan di Tebing Barat, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Serangan itu menyasarkan beberapa kampung dan bandar di wilayah Hebron, Nablus dan Ramallah.

Abu Rudeineh berkata serangan itu mengakibatkan rumah dan sebuah masjid dibakar, rakyat Palestin diserang, harta benda dimusnahkan, ternakan dicuri serta puluhan pokok zaitun dibakar, sebagai sebahagian daripada dasar sistematik yang bertujuan merampas tanah dan mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka.

Beliau berkata perang berskala penuh yang sedang dihadapi rakyat Palestin, khususnya di Semenanjung Gaza, ketika tentera rejim Israel terus melancarkan pencerobohan walaupun gencatan senjata gagal dipatuhi oleh pihak berkuasa Israel, di samping dasar pembunuhan dan kemusnahan yang berterusan, memerlukan campur tangan segera masyarakat antarabangsa bagi memperkukuh gencatan senjata dan memulakan pelaksanaan fasa kedua Resolusi 2728 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Abu Rudeineh berkata, kerajaan Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap jenayah yang dilakukan oleh peneroka haram Israel memandangkan ia merupakan pihak utama yang memberi perlindungan, sokongan dan kekebalan daripada tindakan undang-undang kepada mereka.

Beliau menggesa pentadbiran Amerika Syarikat (AS) supaya mengambil tindakan segera dan serius bagi menekan pihak berkuasa Israel agar menghentikan dasar agresifnya serta memastikan pelaksanaan gencatan senjata, sekiranya Washington benar-benar mahu menyokong usaha menamatkan peningkatan ketegangan dan mencapai kestabilan di seluruh rantau itu.

Abu Rudeineh menegaskan bahawa rakyat Palestin akan terus teguh mempertahankan tanah air mereka, sambil menekankan bahawa jenayah itu tidak akan memberikan keabsahan kepada pendudukan Israel atau mewujudkan keadaan baharu di lapangan.

Beliau berkata rakyat Palestin akan mencapai hak nasional mereka yang sah, terutama penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya.

-- BERNAMA-WAFA

Must Watch Video

Advertisement