Skip to main content

Malaysia

Buli: Tiga pelajar lelaki dilepaskan dengan jaminan polis

fotoBERNAMA
Pada 18 Julai polis menahan tiga pelajar lelaki tersebut kerana disyaki membuli pelajar lelaki sebaya mereka itu sehingga mendatangkan kecederaan pada Khamis lepas. - Gambar hiasan

KANGAR: Polis masih meneruskan siasatan kes tiga pelajar lelaki tingkatan satu sebuah sekolah menengah di sini yang disyaki membuli seorang pelajar lelaki sebaya sehingga mendatangkan kecederaan meskipun ketiga-tiga mereka dilepaskan dengan jaminan polis petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata tiga pelajar lelaki itu yang direman dari Sabtu lepas hingga semalam itu bagi membantu siasatan kes berkenaan dilepaskan kira-kira 6 petang.

"Siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan," katanya ringkas dalam kenyataan hari ini.

Pada 18 Julai polis menahan tiga pelajar lelaki tersebut kerana disyaki membuli pelajar lelaki sebaya mereka itu sehingga mendatangkan kecederaan pada Khamis lepas.

Yusharifuddin dipetik sebagai berkata pihak polis menerima laporan berhubung kejadian dipercayai membuli itu pada 11.27 malam, Khamis, dengan mangsa mengalami keretakan pada bahagian buku lali kiri manakala kes disiasat di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 507B Kanun Keseksaan.

Sementara itu, semalam Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis dalam satu kenyataan memaklumkan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku buli di institusi pendidikan dan tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang didapati bersalah.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement