TEHRAN: Ketua Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf menegaskan usaha memelihara kesatuan nasional merupakan prasyarat penting bagi memastikan kemenangan negara itu dalam menghadapi musuh.
Memetik agensi berita Iran, IRNA beliau berkata arahan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Seyyed Mojtaba Khamenei supaya rakyat dan kerajaan mempertahankan kesatuan perlu dipatuhi.
“Penegasan terhadap kesatuan yang murni bukan sekadar saranan moral atau sosial, sebaliknya prasyarat penting untuk mencapai kemenangan dalam perjuangan menentang musuh,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X hari ini.
Ghalibaf turut menggesa arahan berteraskan agama dan kepentingan nasional itu dijadikan sebahagian daripada tanggungjawab bersejarah rakyat dalam mempertahankan negara serta mentadbir Iran.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas Mojtaba Hosseini mengeluarkan mesej yang menyeru rakyat dan pegawai kerajaan di semua peringkat supaya terus memelihara kesatuan nasional.
Menurut Mojtaba, kesatuan berkenaan penting bagi merealisasikan aspirasi Revolusi Islam serta melindungi maruah dan kemerdekaan Iran.
Beliau turut menegaskan perpaduan itu amat diperlukan ketika Iran berdepan ancaman daripada Amerika Syarikat yang disifatkannya sebagai musuh yang melakukan “jenayah dan licik".
“Ini menjadi bukti baharu yang tidak dapat dipertikaikan tentang ketidakjujuran, ketidakwajaran, ketidakbolehpercayaan serta niat jahat Amerika Syarikat.
“Perkara utama ketika ini ialah mengekalkan perpaduan nasional dalam semua lapisan masyarakat dan pentadbiran negara, di samping mempertahankan maruah serta kemerdekaan Iran yang tercinta,” kata Mojtaba menerusi hantaran di X semalam.