Skip to main content

Dunia

Iran beri amaran tiada kapal tangki boleh lalu Selat Hormuz tanpa kebenaran

Sumber: REUTERS
IRGC menegaskan bahawa Iran mempunyai kawalan penuh ke atas Selat Hormuz dan satu-satunya laluan selamat untuk perkapalan ialah laluan yang ditetapkan oleh Iran. - Gambar fail/Reuters

TEHRAN: Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pada Ahad memaklumkan bahawa dua kapal didakwa melanggar peraturan dalam insiden di Selat Hormuz, sambil memberi amaran bahawa tiada kapal tangki minyak atau gas asli cecair (LNG) dibenarkan melalui laluan air itu tanpa kebenaran, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Menurut tentera Iran, empat kapal yang disokong Amerika Syarikat (AS) mengabaikan amaran yang dikeluarkan oleh tentera laut IRGC di Selat Hormuz ketika cuba melalui laluan yang disifatkan sebagai "tidak selamat" pada Ahad selepas mematikan sistem navigasi masing-masing.

"Akibatnya, dua kapal berhenti selepas berlaku insiden, manakala dua lagi berpatah balik," menurut IRGC seperti dipetik oleh akhbar Etemad Online.

IRGC menegaskan bahawa Iran mempunyai kawalan penuh ke atas Selat Hormuz dan satu-satunya laluan selamat untuk perkapalan ialah laluan yang ditetapkan oleh Iran.

"Seperti yang dinyatakan, walau setitik minyak, gas atau baja sekalipun tidak akan dibenarkan melalui Selat Hormuz tanpa penyelarasan dan kebenaran daripada Iran," tambah IRGC.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Must Watch Video

Advertisement