Skip to main content

Malaysia

Siasatan teknikal bersama arboris kenal pasti punca pokok tumbang - DBKL

Pokok Tumbang Jalan Tun Razak_PDRM
Siasatan antaranya merangkumi penilaian keadaan fizikal pokok, struktur akar, keadaan tanah dan faktor persekitaran serta rekod pemeriksaan dan penyelenggaraan. - Gambar fail/PDRM

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menjalankan siasatan teknikal terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian pokok tumbang di Jalan Tun Razak yang mengorbankan seorang lelaki semalam.

Menerusi kenyataan hari ini, DBKL memaklumkan siasatan dilakukan bersama Persatuan Arborist Malaysia merangkumi penilaian keadaan fizikal pokok, struktur akar, keadaan tanah dan faktor persekitaran serta rekod pemeriksaan, penyelenggaraan dan aduan terdahulu berkaitan pokok serta lokasi kejadian.

"DBKL merakamkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap semua individu yang terlibat menerima rawatan serta bantuan yang diperlukan. DBKL juga akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dan agensi berkaitan dalam melengkapkan siasatan kejadian," menurut kenyataan itu.

Mengenai kejadian itu, DBKL memberitahu pasukan kecemasan digerakkan ke lokasi sebaik menerima laporan pada 10.14 malam untuk kerja pemotongan dan mengalihkan halangan, sebelum laluan dibuka semula sepenuhnya pada 1.27 pagi tadi.

Berdasarkan rekod awal, pokok berkenaan daripada spesies Peltophorum pterocarpum (Yellow Flame) yang dianggarkan berusia 19 tahun dan kali terakhir diperiksa serta disenggara ialah pada 15 Mei lepas.

Menurut kenyataan itu, kontraktor dilantik sebelum ini telah melaksanakan kerja pengurangan silara berdasarkan laporan yang dikemukakan oleh arboris bertauliah.

“Sebagai langkah segera, DBKL memulakan pemeriksaan terhadap pokok matang dan pokok berpotensi mendatangkan risiko di semua jalan utama Kuala Lumpur khususnya kawasan yang mempunyai jumlah trafik dan pergerakan orang awam tinggi,” menurut kenyataan itu.

Pemeriksaan awal melibatkan pokok di Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Laut, Jalan Datuk Keramat serta sebahagian Jalan Tun Razak dan dijangka selesai dalam tempoh 10 minggu melibatkan lapan pasukan termasuk lima arboris.

Bagi langkah pencegahan jangka sederhana pula, DBKL kini menunggu kelulusan SIRIM untuk penggunaan 400 unit pengesan pokok yang akan dipasang secara berperingkat di lokasi berisiko.

Menurut DBKL, alat pengesan itu berfungsi memantau keadaan pokok dan memberikan bacaan awal berkaitan perubahan yang boleh menjejaskan kestabilannya termasuk keadaan tanah, kelembapan, pergerakan struktur serta kesan cuaca buruk seperti hujan lebat dan banjir.

Fasa pertama pemasangan pengesan itu dijangka melibatkan empat lokasi utama iaitu Jalan Bangsar, Dataran Merdeka, Jalan Ampang dan Jalan Raja Chulan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement