KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, menegaskan negaranya akan terus melancarkan serangan dron ke atas sasaran strategik di Rusia sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan Moscow ke atas infrastruktur Ukraine.
Dalam ucapan video hariannya, Zelenskyy berkata, serangan terbaharu menyasarkan beberapa kemudahan logistik berhampiran Moscow dan wilayah Tambov, termasuk gudang yang membekalkan sistem navigasi, komponen pembuatan dron serta peralatan ketenteraan Rusia.
Beliau turut memaklumkan, sebuah kemudahan minyak serta beberapa sasaran di perairan Laut Azov dan Laut Hitam berjaya diserang, sambil menegaskan Ukraine akan terus memperkukuh keupayaan serangan jarak jauhnya.
“Pada waktu malam, serangan jarak jauh kami telah mencapai hasil yang sangat penting. Kami akan terus bertindak balas terhadap perang yang dilancarkan Rusia serta serangannya ke atas infrastruktur Ukraine secara adil dan setimpal.
“Hari ini, sasaran berhampiran Moscow dan di wilayah Tambov telah berjaya diserang. Sasaran tersebut merupakan kemudahan logistik Rusia, termasuk gudang yang membekalkan peralatan untuk usaha peperangan seperti sistem navigasi, komponen yang digunakan dalam penghasilan dron serta bekalan lain kepada tentera Rusia.
“Senjata Ukraine turut berjaya menyerang sebuah lagi kemudahan minyak serta sasaran di perairan Laut Azov dan Laut Hitam. Ini merupakan satu operasi yang penting. Akan ada lagi serangan selepas ini.
"Kami akan mempunyai lebih banyak keupayaan untuk melaksanakan serangan jarak sederhana. Pelaksanaan pelan sekatan jangka panjang juga sedang diteruskan secara berperingkat,” katanya.
Pada masa sama, Zelenskyy mendakwa, Rusia berulang kali menolak usaha diplomatik untuk menamatkan perang walaupun Ukraine telah mengemukakan puluhan cadangan damai sepanjang tahun ini.
Beliau berkata, beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Turkiye, negara-negara Eropah dan negara Arab sedang berusaha mengatur pertemuan antara pemimpin kedua-dua negara, namun mendakwa, Presiden Rusia, Vladimir Putin, tidak menunjukkan keinginan untuk menamatkan konflik.
Sementara itu, pihak berkuasa Rusia memaklumkan serangan dron Ukraine di wilayah Tambov mengorbankan tujuh pekerja gudang dan mencederakan sekurang-kurangnya 25 lagi.
Sebuah depoh minyak di kawasan sekitar Moscow turut dilaporkan terbakar akibat serangan berkenaan. - Agensi