Skip to main content

Dunia

Trump tawar diri bantu Rusia, Ukraine cari jalan penyelesaian perang

Trump, Putin, Zelenskyy_Astro AWANI
Presiden Trump (kiri) menawarkan bantuan untuk mencari penyelesaian kepada perang di Ukraine kepada Presiden Putin (tengah) dan Presiden Zelenskyy menerusi perbualan telefon.

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menawarkan bantuan untuk mencari penyelesaian kepada perang di Ukraine ketika mengadakan perbualan telefon hampir 90 minit dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, kata pembantu Kremlin, Yuri Ushakov.

Menurut Ushakov, tawaran itu dibuat Trump dalam perbualan yang berlangsung pada Sabtu sempena sambutan Hari Kemerdekaan AS, menjelang penyertaannya dalam sidang kemuncak NATO yang dijadual berlangsung minggu depan di Turkiye.

Trump, kata Ushakov, sekali lagi menegaskan komitmennya untuk berusaha menamatkan pertempuran dengan segera serta mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi krisis yang berlarutan sejak lebih empat tahun lalu.

Perbualan itu disifatkan Ushakov sebagai berlangsung secara profesional dan konstruktif, dengan Rusia menegaskan pendiriannya bahawa konflik tersebut perlu diselesaikan menerusi pendekatan politik dan diplomatik yang mengambil kira kepentingan asas Moscow.

Dalam masa sama, Ushakov menuduh Kyiv serta sekutunya di Eropah mahu memanjangkan dan meningkatkan konflik, termasuk menerusi serangan yang disifatkannya sebagai mensasarkan orang awam.

Beliau merujuk kepada siri serangan jarak jauh Ukraine terhadap sasaran di Rusia, terutamanya kemudahan berkaitan industri minyak, yang didakwa menyebabkan gangguan bekalan bahan api di beberapa wilayah negara itu.

Menurut Ushakov, Putin turut memaklumkan kepada Trump mengenai situasi terkini di medan perang dan mendakwa tentera Rusia sedang mara secara berterusan dengan menawan satu demi satu kawasan penempatan.

Pada Jumaat, komander tentera Rusia dilaporkan memaklumkan kepada Putin bahawa Moscow telah menawan bandar strategik Kostiantynivka di wilayah Donetsk, timur Ukraine.

Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy serta Markas Besar Angkatan Tentera Ukraine pada Sabtu yang menegaskan bandar berkenaan masih berada di bawah kawalan Kyiv.

Rusia sebelum ini berulang kali menegaskan sebarang penyelesaian damai perlu melibatkan penguasaan penuh Moscow ke atas wilayah Donbas.

Ukraine menolak tuntutan tersebut, manakala Zelenskyy bulan lalu menggesa Putin untuk mengadakan pertemuan secara bersemuka, namun, permintaan itu tidak mendapat sambutan daripada pemimpin Kremlin berkenaan.

Utusan AS teruskan usaha damai

Ushakov berkata, Trump turut memaklumkan, dua wakil khas Washington, Steve Witkoff dan Jared Kushner akan meneruskan usaha mencari penyelesaian konflik serta bersedia mengadakan lawatan baharu ke Moscow.

Usaha diplomatik AS berhubung perang Ukraine sebelum ini dilihat semakin perlahan apabila Washington memberi tumpuan kepada konflik melibatkan Iran.

Dalam perbualan tersebut, Putin juga menyuarakan harapan agar usaha diplomatik AS berkaitan konflik Iran dapat membuka ruang kepada penyelesaian jangka panjang yang boleh diterima semua pihak terhadap isu-isu utama.

Selain itu, Putin dilaporkan mengulangi jemputan terbuka kepada Trump untuk mengunjungi Moscow.

Sementara itu, Zelenskyy mengesahkan beliau turut mengadakan perbualan dengan Trump dan menyifatkannya sebagai sangat baik.

Menerusi hantaran di Telegram, beliau berkata, kedua-dua mereka membincangkan situasi sepanjang garisan hadapan perang sepanjang kira-kira 1,200 kilometer.

"Terdapat peluang sebenar untuk menamatkan perang ini dan ketegasan Amerika akan memainkan peranan yang amat penting," kata Zelenskyy.

Zelenskyy turut memaklumkan bahawa beliau dan Trump bersetuju untuk meneruskan perbincangan lanjut semasa sidang kemuncak NATO kelak. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement