RAMALLAH: Seorang bayi lelaki Palestin berusia empat bulan meninggal dunia selepas gagal mendapatkan rawatan perubatan kecemasan apabila akses ke hospital dihalang oleh tentera Israel di sebuah sekatan tentera di barat Ramallah, Tebing Barat yang diduduki.
Gabenor Ramallah dan el-Bireh, Laila Ghannam berkata, doktor di Hospital Arab Specialised mengesahkan kematian Ahmad Marouf Zeid pada Ahad selepas tentera Israel menghalang pemindahannya ke hospital selama lebih sejam walaupun berada dalam keadaan kritikal.
Menurut beliau, tentera Israel turut melepaskan gas pemedih mata bagi menghalang penduduk Palestin daripada melalui sekatan di pintu masuk kampung Deir Ammar.
Ghannam menyifatkan tragedi yang menimpa Ahmad, anak tunggal dalam keluarganya, sebagai “noda terhadap hati nurani kemanusiaan” dan mendakwa, ia sebahagian daripada dasar yang menyekat kebebasan pergerakan rakyat Palestin serta akses kepada perkhidmatan kesihatan, sekali gus melanggar hak asasi manusia.
Dalam perkembangan berasingan, Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditembak mati oleh tentera Israel di kem pelarian Qalandiya berhampiran Ramallah.
Dua lagi remaja berusia 14 tahun dilaporkan cedera dalam insiden sama.
Keganasan di Tebing Barat terus meningkat sejak tercetusnya perang di Gaza lebih 1,000 hari lalu.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 1,087 rakyat Palestin terbunuh di wilayah itu sejak Oktober 2023 akibat operasi tentera Israel dan keganasan peneroka.
Sementara itu di Gaza, sekurang-kurangnya dua rakyat Palestin maut selepas sebuah dron Israel menyerang sekumpulan penduduk di Jalan Omar al-Mukhtar, di tengah Bandar Gaza, pada Ahad.
Beberapa individu lain turut dilaporkan cedera dalam serangan berkenaan.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata pelanggaran gencatan senjata oleh tentera Israel sejak ia berkuat kuasa pada Oktober lalu telah mengorbankan 1,066 orang dan mencederakan 3,445 yang lain.
Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan korban di Gaza sejak Oktober 2023 meningkat kepada 73,090 orang, manakala 173,550 lagi dilaporkan cedera. - Agensi