Skip to main content

Malaysia

Jika tidak mahu haji hanya sekadar panggilan Baitullah, lakukan lima perkara ini...

jemaah haji_Astro AWANI
Cabaran selepas pulang mengerjakan haji ialah menjaga hati dan akhlak supaya terus istiqomah untuk berbuat kebaikan susulan. - Gambar Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Musim haji 1447H sudah lama berakhir. Jemaah haji dari Malaysia, kesemuanya sudah pulang ke tanah air.

Penerbangan akhir membawa pulang jemaah dari Arab Saudi ke Kuala Lumpur adalah pada 30 Jun 2026.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan juga menyifatkan operasi haji bagi musim 1447H/2026M, berjalan lancar dan begitu baik sekali.

"Cabaran ditempuhi 31,600 jemaah Malaysia sangat getir, dengan perang Asia Barat masih berlarutan ketika itu, soal cuaca juga perlu ditempuhi dengan sabar oleh kesemua jemaah. 

"Tetapi, semuanya berjalan lancar termasuk ketika operasi Masyair, di Arafah, Mudzalifah dan Mina," katanya dalam temu bual dengan petugas media sebelum ini.

"Tetapi cabaran sebenar bagi jemaah haji ialah menjaga kemabruran haji itu sendiri, iaitu apabila pulang semula ke tanah air selepas hampir dua bulan berada di Arab Saudi,'' akui salah seorang jemaah haji, yang menjadi antara jemaah terakhir kembali ke Malaysia.

Mahukah istiqomah selepas pulang haji? Ingin menjaga kemabruran haji?

Ketika mana kesemua jemaah haji sudah pulang ke tanah air selepas selesai menunaikan Rukun Islam Kelima, berikut boleh jadi panduan untuk menjaga kemabruran haji dan istiqamah selepas kembali.

1. Mengawal dan menjaga hati

Antara tanda-tanda sesuatu ibadah itu diterima termasuk, individu berkenaan sangat terbuka pintu hatinya selain suka kepada kebaikan susulan. 

Dapat dilihat contohnya, jika selepas haji seseorang itu lebih dekat dengan Allah SWT, lebih lembut hatinya, lebih menjaga amanah, lebih menjauhi dosa dan lebih prihatin kepada manusia, maka itu petanda baik bahawa hajinya sedang membentuknya untuk satu kehidupan baharu. 

Sebaliknya, jika pulang daripada haji, tetapi kekal sombong, suka menyakiti, lalai solat, memutuskan silaturahim dan meremehkan dosa, maka seseorang itu perlu segera bermuhasabah. Ia petanda, ada sesuatu yang tidak kena dengan hatinya.

2. Membaca bahan berilmu 

Selepas pulang, masa tentunya akan menjadi penghalang lebih-lebih lagi untuk mencintai ilmu dengan membaca bahan manfaat dan melazimi majlis ilmu.

Namun, pencarian ilmu pada zaman moden ini sebenarnya semakin mudah,seperti memetik jari sahaja.

Alasan sibuk atau tidak sempat sudah tidak lagi relevan kerana ilmu boleh dicapai di mana sahaja dengan pelbagai peranti mudah alih kurniaan Allah SWT. 

Membaca bahan ilmu itu misalnya ada tersedia secara fizikal dan digital. 

Terdapat juga buku-buku khusus untuk menyegarkan semula ingatan kita semua khususnya jemaah haji dengan apa yang dilakukan semasa musim haji. 

Sebagai contoh, buku berjudul "Ajaibnya Kembara Melangit-Mu, Himpunan Kisah Wartawan Liputan Haji" (2026); Hajinya Yang Terakhir (2022). 

Buku-bukunya memandu pembacanya, jika sudah menunaikan haji, mengingati semula perjalanan penuh spiritual dan muhasabah bahawa ia adalah perjalanan paling agung dari hamba-Nya yang menyerah. 

Dengan muhasabah itu, ia membawa pula kepada keinsafan dan istiqomah.

Image
Mencintai ilmu dan membaca naskhah yang bermanfaat seperti "Ajaibnya Kembara Melangit-Mu" Himpunan Kisah Wartawan Liputan Haji berupaya mengekalkan hati supaya sentiasa muhasabah dan berusaha menjaga kemabruran haji. - Gambar Astro AWANI
Mencintai ilmu dan membaca naskhah yang bermanfaat seperti "Ajaibnya Kembara Melangit-Mu" Himpunan Kisah Wartawan Liputan Haji berupaya mengekalkan hati supaya sentiasa muhasabah dan berusaha menjaga kemabruran haji. - Gambar Astro AWANI

3. Pelihara solat dan ibadah

Jika di Tanah Suci, jemaah haji boleh dikatakan setiap masa beribadah. Tidak salah, malah sangat dituntut, untuk jemaah kekal rutin beribadah seperti yang dilakukan di Tanah Suci. 

Jaga solat lima waktu secara berjemaah di masjid, lazimi solat sunat (seperti Dhuha dan Witir), serta memperbanyakkan membaca al-Quran dan berzikir. 

Ini juga adalah latihan untuk terus istiqomah dan menjaga kemabruran haji.

4. Mencari rakan yang baik untuk hal-hal yang baik 

Kelilingi diri dengan rakan-rakan yang mengingatkan semua kepada Allah SWT dan menghadiri majlis-majlis ilmu. Sokongan komuniti membantu mengekalkan keteguhan iman pasca haji.

5. Kawal penampilan dan jaga sikap

Tanda utama haji yang mabrur adalah perubahan sikap menjadi lebih positif. Kekalkan sifat sabar, pemaaf, suka bersedekah, dan sentiasa memulakan salam.

Elakkan daripada kembali melakukan maksiat dan perbuatan sia-sia.

Mabrur terpancar melalui wajah yang lebih tenang, lidah yang lebih terjaga, hati yang lebih tunduk, tangan yang lebih banyak memberi dan hidup yang lebih banyak memberi manfaat.

Ada banyak lagi panduan untuk menjaga kemabruran haji, yang menjadi rukun terakhir bagi manusia tunaikan tanggungjawab sebagai umat Islam. 

Jika sudah syahadah , solat, berpuasa, berzakat, akhirnya untuk melengkapkan rukun ialah menunaikan haji. 

Jika sudah mendapat panggilan, maka panggilan itu mesti dipenuhi dengan dijaga sebaiknya.

Ini kerana, pada akhirnya, setiap langkah ke Baitullah, setiap sujud di hadapan Kaabah, setiap air mata di Arafah, setiap pengabdian di Mudzalifah, ia bukan siapa yang paling banyak menangis atau siapa paling banyak berjalan, tidak juga siapa paling banyak minum air zamzam tetapi yang paling bersih hatinya selepas kembali. 

Dan, haji itu tentunya tentang perjalanan kembali kepada Allah SWT dengan hati yang paling suci.

Must Watch Video

Advertisement