Skip to main content

Politik

PRN Johor: Calon Bersama Mahkota janji bawa suara rakyat ke DUN

ABD HAMID ALI
Calon Parti Bersama Malaysia bagi DUN Mahkota, Abd Hamid Ali, berjanji membawa suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri Johor serta memainkan peranan sebagai pembangkang yang aktif jika dipilih. - Gambar Astro AWANI

KLUANG: Calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Abd Hamid Ali berjanji akan membawa suara rakyat Mahkota ke DUN Johor sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, Bersama akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang baik dan aktif sekiranya berjaya memenangi kerusi yang ditandingi.

"Kami akan mendengar suara rakyat dan kami akan membawa suara rakyat.

"Kami sedar kami bertanding sebanyak 15 daripada 56 kerusi DUN. Presiden kami telah menyatakan bahawa kami tidak akan bergabung dengan mana-mana parti.

"Jadi, andainya kami berjaya memenangi kerusi yang ditandingi, kami akan menjadi pembangkang yang baik dan pembangkang yang aktif untuk membawa suara rakyat.

"Saya sendiri akan menjadi salah satu jentera untuk membawa suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri Johor," katanya kepada Astro AWANI.

Abd Hamid berkata, komitmen itu dibuat kerana sepanjang tempoh berkempen di Mahkota, beliau mendapati antara rungutan utama penduduk ialah suara mereka tidak disampaikan dengan berkesan kepada kerajaan negeri.

"Kita faham bukan mudah kerana banyak birokrasi yang perlu dilewati. Tetapi mungkin rakyat perlukan tindakan yang lebih drastik terhadap permintaan mereka," katanya.

Pada PRN Johor kali ini, Abd Hamid berdepan pertandingan tiga penjuru menentang penyandang Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, dan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Ahmad Zuhan Md Zain.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota pada September 2024, Syed Hussien memenangi kerusi itu dengan majoriti 20,648 undi selepas menewaskan Mohamad Haizan Jaafar (PN)

DUN Mahkota kini mempunyai 66,318 pengundi berdaftar.

Must Watch Video

Advertisement