Skip to main content

Politik

PRN Johor: Calon BN Mahkota mahu perkukuh jaringan pengangkutan di Kluang

SYED HUSSIEN
Calon BN bagi DUN Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah (kiri), mahu memperkukuh jaringan pengangkutan awam bagi memudahkan akses kepada peluang pekerjaan, di samping menyediakan lebih banyak rumah mampu milik di Kluang.

KLUANG: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah mahu memperkukuh jaringan pengangkutan awam antara Kluang dan kawasan perindustrian berhampiran bagi memudahkan penduduk, khususnya golongan muda, mengakses peluang pekerjaan.

Beliau berkata, peluang pekerjaan tidak semestinya perlu diwujudkan di setiap kawasan.

Sebaliknya, keutamaan perlu diberikan kepada penyediaan rangkaian pengangkutan yang cekap supaya penduduk dapat bekerja di pusat-pusat industri tanpa perlu berpindah dari Kluang.

"Berkenaan peluang pekerjaan, ia sangat subjektif kerana tidak semua sektor boleh diwujudkan di kawasan kita.

"Sebab itu kita melihat jaringan pengangkutan awam seperti ETS yang sudah beroperasi di Kluang dapat memberi kemudahan kepada anak muda untuk bekerja di pusat bandar, tetapi masih boleh tinggal di kawasan sendiri," katanya kepada Astro AWANI.

Menurut beliau, pendekatan itu bukan sahaja membantu meningkatkan akses kepada peluang pekerjaan, malah membolehkan golongan muda terus menetap di Kluang meskipun kos sara hidup di bandar-bandar utama semakin tinggi.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menyediakan antara 500 hingga 800 unit rumah mampu milik di bawah Program Kediaman Mampu Milik Johor (PKPJ) di Kluang bagi memenuhi keperluan penduduk.

"Kesimpulannya, peluang pekerjaan bukan semata-mata perlu diwujudkan di kawasan kita.

"Yang penting ialah bagaimana kita menyediakan kemudahan awam supaya anak muda dapat bekerja dalam sektor yang mereka kehendaki dan pada masa sama terus menikmati kehidupan yang aman dan makmur," katanya.

Pada PRN Johor kali ini, Syed Hussien mempertahankan kerusi DUN Mahkota dalam pertandingan tiga penjuru menentang calon Pakatan Harapan (PH), Dr Ahmad Zuhan Md Zain, dan calon Parti Bersama, Abd Hamid Ali.

Pada PRK DUN Mahkota pada September 2024, Syed Hussien (BN) memenangi kerusi itu dengan majoriti 20,648 undi selepas menewaskan Mohamad Haizan Jaafar daripada PN.

Kerusi itu kini mempunyai 66,318 pengundi berdaftar.

 

 

Must Watch Video

Advertisement