Skip to main content

Dunia

Perbicaraan pemecatan Naib Presiden Filipina Sara Duterte bermula, tumpuan beralih kepada Pilihan Raya 2028

Philippine Vice President Sara Duterte delivers a statement following her impeachment by the lower house of the Congress, in her office at Mandaluyong City, Metro Manila, Philippines, February 7, 2025. REUTERS/Eloisa Lopez
Tinjauan pendapat menunjukkan Duterte merupakan antara calon utama bagi pilihan raya presiden 2028. - Foto REUTERS

MANILA: Perbicaraan pemecatan Naib Presiden Filipina, Sara Duterte, bermula pada Isnin dalam suasana politik yang tegang, dengan pemerhati menjangkakan prosiding itu bakal memberi kesan besar terhadap landskap politik negara menjelang pilihan raya presiden 2028.

Perbicaraan di Senat itu bukan sahaja akan menentukan masa depan politik Duterte, malah dilihat sebagai ujian terhadap kredibiliti institusi demokrasi dan sistem politik negara Asia Tenggara berkenaan.

Penganalisis politik berpendapat penerimaan rakyat terhadap keputusan akhir perbicaraan akan menjadi faktor utama dalam menentukan impaknya.

Profesor pentadbiran awam Universiti Makati, Ederson Tapia, berkata jika keputusan perbicaraan dilihat bermotifkan politik atau kurang berwibawa, persoalan mengenai keadilannya akan terus dibangkitkan tanpa mengira keputusan yang dicapai.

Tempoh perbicaraan masih belum dapat dipastikan kerana ia bergantung kepada pelbagai faktor termasuk pertikaian prosedur, jumlah saksi dan pembentangan bukti.

Sebagai perbandingan, perbicaraan pemecatan Ketua Hakim Negara Filipina pada 2012 mengambil masa kira-kira empat bulan untuk diselesaikan.

Bagi mensabitkan kesalahan, sekurang-kurangnya 16 daripada 24 anggota Senat perlu mengundi menyokong pemecatan.

Tinjauan pendapat menunjukkan Duterte merupakan antara calon utama bagi pilihan raya presiden 2028, namun sabitan bersalah boleh menjejaskan hasratnya untuk bertanding bagi jawatan tertinggi negara itu.

Duterte berdepan beberapa tuduhan termasuk penyalahgunaan dana awam, pengumpulan kekayaan yang tidak dapat dijelaskan sumbernya serta dakwaan mengancam nyawa Presiden Ferdinand Marcos Jr, Wanita Pertama dan bekas Speaker Dewan Perwakilan.

Beliau yang juga anak kepada bekas Presiden Rodrigo Duterte menafikan semua dakwaan tersebut dan menegaskan proses pemecatan itu bermotifkan politik.

Jurucakap pihak pendakwaan, Ahli Kongres Robert “Ace” Barbers, berkata segala dakwaan balas oleh Duterte dijangka akan dibangkitkan sepanjang perbicaraan.

“Kami akan membiarkan bukti menentukan segala-galanya,” katanya.

Profesor sains politik Universiti Filipina, Jean Encinas-Franco, berkata kedua-dua pihak perlu diberi peluang secukupnya untuk membentangkan kes masing-masing bagi memastikan keyakinan awam terhadap proses tersebut terus terpelihara.

Beliau merujuk kepada perbicaraan pemecatan Presiden Joseph Estrada pada 2001 yang mencetuskan kemarahan rakyat selepas Senat menghalang pembentangan bukti penting.

Keputusan itu menyebabkan perbicaraan tergendala dan mendorong demonstrasi besar-besaran yang akhirnya membawa kepada penyingkiran Estrada daripada jawatan presiden.

Sementara itu, peguam Duterte, Michael Poa, berkata pihak pembelaan bersedia membuktikan semua tuduhan terhadap anak guamnya tidak berasas.

Beliau bagaimanapun belum dapat mengesahkan sama ada Duterte akan hadir secara peribadi pada prosiding pembukaan kerana saman yang diterima membenarkannya diwakili oleh peguam.

Perbicaraan tersebut turut menyerlahkan perpecahan politik yang semakin ketara antara dua dinasti paling berpengaruh di Filipina iaitu keluarga Marcos dan Duterte.

Marcos dan Duterte berganding dalam satu tiket pilihan raya ketika pilihan raya umum 2022, namun hubungan mereka semakin renggang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketegangan antara kedua-dua kem memuncak selepas Rodrigo Duterte ditahan dan dipindahkan ke tahanan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague pada Mac tahun lalu.

Perpecahan itu turut memberi kesan kepada Senat, yang menyaksikan perebutan pengaruh antara kumpulan yang menyokong kedua-dua kem politik berkenaan.

Bagaimanapun, penganalisis berpandangan kedudukan politik senator dalam perebutan jawatan kepimpinan Senat tidak semestinya mencerminkan corak pengundian mereka dalam perbicaraan pemecatan.

Menurut Tapia, proses pemecatan mewujudkan tanggungjawab perlembagaan yang berbeza daripada persaingan politik biasa atau pembentukan pakatan dalam Senat.

Keputusan perbicaraan itu juga dijangka mempengaruhi siapa yang bakal mengetuai kem Marcos dalam pilihan raya presiden 2028 memandangkan Marcos tidak dibenarkan bertanding untuk penggal kedua mengikut Perlembagaan Filipina.

 

Must Watch Video

Advertisement