Skip to main content

Dunia

Taufan Bavi landa kepulauan Pasifik Barat dengan angin sehingga 290 km/j

This satellite image from the National Oceanic and Atmospheric Administration shows Typhoon Bavi nearing the U.S. Pacific island territory of Guam on Sunday, July 5, 2026. (NOAA via AP)
Imej satelit yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA) menunjukkan Taufan Bavi menghampiri wilayah kepulauan Guam di Pasifik yang terletak di bawah pentadbiran Amerika Syarikat. - Foto AP

WELLINGTON: Taufan Super Bavi mencetuskan keadaan cuaca berbahaya di Kepulauan Mariana di barat Lautan Pasifik pada Isnin apabila membawa angin kencang dan hujan lebat yang mengancam keselamatan penduduk di Guam, Tinian, Saipan dan Rota.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat (NWS) memaklumkan taufan kategori lima itu sedang merentasi gugusan kepulauan berkenaan, dengan Pulau Rota dijangka menerima impak paling teruk apabila dinding mata taufan melanda kawasan tersebut sejurus selepas waktu subuh.

Menurut NWS, Bavi membawa angin kencang yang berbahaya dengan kelajuan mencecah 290 kilometer sejam, manakala tiupan angin boleh mencapai sehingga 346 kilometer sejam.

Rota, pulau paling selatan dalam Kepulauan Mariana Utara yang mempunyai kira-kira 2,000 penduduk, diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga tinggi ketika taufan menghampiri kawasan itu.

Penduduk di Guam, Tinian dan Saipan turut berdepan keadaan cuaca daripada ribut tropika kuat hingga taufan sebelum angin dijangka mula reda kemudian pada hari berkenaan.

Pihak berkuasa cuaca menggesa penduduk segera mendapatkan perlindungan dan tidak keluar rumah sepanjang tempoh cuaca buruk bagi mengelakkan risiko kecederaan atau kehilangan nyawa.

Selain angin kencang, Taufan Bavi turut membawa hujan lebat dengan jumlah taburan hujan antara 30 hingga 51 sentimeter berhampiran pusat ribut.

Keadaan itu meningkatkan risiko banjir kilat di beberapa kawasan sehingga Selasa malam.

Kepulauan Guam dan Mariana Utara mempunyai kepentingan strategik kepada Amerika Syarikat kerana menempatkan beberapa pangkalan dan kemudahan latihan ketenteraan utama di Pasifik Barat, termasuk Pangkalan Tentera Udara Andersen, Pangkalan Tentera Laut Guam dan Pangkalan Kor Marin Camp Blaz.

Sebagai langkah persediaan menghadapi bencana, pihak berkuasa Guam telah membuka beberapa pusat pemindahan di seluruh wilayah itu.

Gabenor Guam, Lou Leon Guerrero, menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook pada Ahad menggesa penduduk supaya mengelakkan perjalanan yang tidak perlu dan kekal berada di dalam bangunan.

Beliau berkata pentadbiran wilayah itu telah bersedia sepenuhnya dari segi perancangan dan langkah perlindungan bagi menjaga keselamatan penduduk sepanjang taufan tersebut.

 

Must Watch Video

Advertisement