THAILAND bercadang membatalkan projek mega Jambatan Darat yang dianggarkan bernilai satu trilion baht (AS$38.3 bilion) selepas kajian kerajaan mendapati projek itu tidak lagi berdaya maju dari segi ekonomi serta berisiko menjejaskan alam sekitar.
Menurut laporan Bloomberg, jawatankuasa kerajaan mengesyorkan projek berkenaan ditamatkan dan cadangan itu telah diumumkan oleh Menteri Kewangan Thailand, Ekniti Nitithanprapas, pada satu sidang media pada Jumaat.
Kajian terbaharu mendapati projek berkenaan berkemungkinan mengalami kerugian secara keseluruhan, berbeza dengan penilaian terdahulu yang meramalkan manfaat ekonomi yang besar kepada negara.
Projek sepanjang kira-kira 100 kilometer itu sebelum ini dicadangkan untuk menghubungkan Laut Andaman dan Teluk Thailand, sekali gus memendekkan masa pelayaran antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik tanpa melalui Selat Melaka.
Cadangan itu kembali menjadi perhatian pada tahun ini susulan ketegangan di Selat Hormuz yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kelancaran laluan perdagangan global.
Malah pada April lalu, Timbalan Perdana Menteri Thailand Phiphat Ratchakitprakarn dilaporkan berkata kerajaan mahu mempercepatkan pelaksanaannya.
Bagaimanapun, kajian terkini menunjukkan kadar pulangan projek merosot kepada 4.8 peratus berbanding lapan peratus sebelum ini, manakala jumlah kargo yang dijangka melalui laluan itu berkurangan sehingga 16 peratus daripada anggaran awal.
Selain itu, sembilan daripada 10 syarikat perkapalan terbesar dunia dilaporkan telah melabur dalam projek pesaing, sekali gus mengurangkan minat terhadap cadangan Jambatan Darat Thailand.
Projek berkenaan merangkumi pembinaan pelabuhan laut dalam di kedua-dua pantai selatan Thailand yang dihubungkan dengan rangkaian lebuh raya dan kereta api. Ia menggantikan cadangan lama untuk membina Terusan Kra merentasi tanah genting Kra.
Kajian itu turut memberi amaran bahawa projek tersebut boleh menjejaskan kawasan sensitif termasuk rizab biosfera dan tanah lembap di Ranong serta beberapa lokasi utama pelancongan marin.
Sebagai alternatif, kerajaan bercadang menaik taraf Pelabuhan Ranong dan membangunkan rangkaian kereta api yang menghubungkan pantai Laut Andaman dengan sistem rel sedia ada bagi meningkatkan pengangkutan kargo.
Cadangan pembatalan itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Kabinet untuk kelulusan.