Skip to main content

Dunia

Switzerland bakal undi hadkan jumlah penduduk kepada 10 juta

61465137054_Switzerlandseniors.jpg
Jika cadangan itu diluluskan, pemberian suaka dan penyatuan semula keluarga perlu dihadkan apabila jumlah penduduk mencecah 9.5 juta. - Gambar hiasan

GENEVA: Pengundi Switzerland dijadual membuat keputusan pada Ahad sama ada mahu mengehadkan populasi negara itu kepada 10 juta penduduk, lapor agensi berita Jerman dpa.

Parti Rakyat Switzerland (SVP) berhaluan kanan, parti politik terbesar negara itu, berusaha mengehadkan populasi kepada 10 juta menjelang 2050.

Switzerland kini mempunyai kira-kira 9.1 juta penduduk. Jika cadangan itu diluluskan, pemberian suaka dan penyatuan semula keluarga perlu dihadkan apabila jumlah penduduk mencecah 9.5 juta.

Keadaan itu dijangka berlaku pada sekitar dekad 2030-an.

Jika langkah berkenaan masih tidak mencukupi, Switzerland perlu menamatkan perjanjian kebebasan pergerakan dengan Kesatuan Eropah (EU), yang membolehkan hak timbal balik untuk tinggal dan bekerja merentasi sempadan walaupun Switzerland bukan anggota EU.

Pengiraan undi dijadual bermula pada tengah hari (1000 GMT).

Bagi sebahagian besar tempoh kempen, tinjauan pendapat menunjukkan majoriti menyokong cadangan itu.

Bagaimanapun, tinjauan yang dijalankan sejak beberapa minggu kebelakangan ini menunjukkan perubahan sentimen, sekali gus membayangkan persaingan yang lebih sengit.

Keputusan referendum dijangka sengit, walaupun hasil pungutan suara di Switzerland sering kali berbeza daripada ramalan tinjauan.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement