TORONTO: Kanada melancarkan strategi baharu kecerdasan buatan (AI) pada Khamis yang dijangka mewujudkan 250,000 peluang pekerjaan menjelang 2031, selain memperkenalkan dana teknologi berjumlah C$500 juta untuk menyokong syarikat AI tempatan.
Strategi yang dikenali sebagai “AI for All” itu diumumkan Perdana Menteri, Mark Carney, ketika syarikat-syarikat besar di negara itu giat melabur dalam pembangunan teknologi bagi mempercepat pemprosesan maklumat serta meningkatkan produktiviti ekonomi Kanada yang selama ini dilihat rendah.
Antara intipati utama strategi tersebut:
- Pelaksanaan strategi itu dijangka meningkatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak tiga peratus, dengan nilai ekonomi hampir C$200 bilion melalui pemerkasaan komersialisasi dan penggunaan AI dalam sektor utama, sekaligus meningkatkan produktiviti tenaga kerja. Ketika ini, sektor digital Kanada menggaji kira-kira 800,000 pekerja dan menyumbang lebih C$140 bilion kepada KDNK, dengan sekitar 150,000 pekerjaan berkaitan secara langsung dengan AI.
- Bagi merapatkan jurang pembiayaan berbanding gergasi teknologi Amerika Syarikat, kerajaan akan menubuhkan Canadian Tech Growth Fund bernilai C$500 juta bagi membantu syarikat AI tempatan berkembang, selain membolehkan kerajaan mengambil pegangan ekuiti dalam syarikat berkenaan.
- Dalam masa sama, kerajaan akan memanfaatkan inisiatif bernilai C$500 juta menerusi Business Development Bank of Canada bagi membiayai akses kepada peralatan AI untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
- Kanada turut menegaskan komitmen untuk memperkenalkan undang-undang privasi pengguna baharu bagi melindungi data kanak-kanak dan aktiviti dalam talian, membanteras penyalahgunaan teknologi seperti deepfake serta memperkukuh kawalan pengguna terhadap data peribadi.
- Selain itu, kerajaan merancang melabur C$50 juta bagi memantau risiko baharu berkaitan AI serta menjalankan penilaian telus terhadap model kecerdasan buatan.
Bagaimanapun, tiada garis masa khusus diumumkan setakat ini bagi pelaksanaan peraturan baharu tersebut.