Skip to main content

Dunia

Singapura lancar superkomputer Aspire 2B pacu AI, penyelidikan iklim

[TB]_Josephine Teo_FB Josephine Teo
Teo berkata Aspire 2B membolehkan model AI dan pembelajaran mesin yang sebelum ini terlalu besar, dilatih di Singapura bagi memenuhi keperluan khusus republik itu. - Gambar Facebook Josephine Teo

SINGAPURA: Singapura melancarkan superkomputer penyelidikan nasional terbaharunya, Aspire 2B untuk meningkatkan keupayaan kecerdasan buatan (AI), penyelidikan iklim dan pengkomputeran kuantum dengan ketara.

Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan Josephine Teo berkata Aspire 2B membolehkan model AI dan pembelajaran mesin yang sebelum ini terlalu besar, dilatih di Singapura bagi memenuhi keperluan khusus republik itu.

"Simulasi yang sebelum ini dijalankan secara anggaran kini boleh dilaksanakan pada resolusi lebih tinggi.

"Beban kerja yang sebelum ini perlu dihantar ke luar negara, kini boleh menggunakan infrastruktur penyelidikan nasional kita," katanya semasa majlis pelancaran Pusat Superkomputeran Nasional (NSCC) Singapura pada Isnin.

Direka sebagai sistem heterogen yang menggabungkan keupayaan unit pemprosesan pusat (CPU) dan unit pemprosesan grafik (GPU) canggih dalam satu platform, Aspire 2B menyokong beban kerja berskala besar meliputi simulasi, analisis data dan AI.

Ia akan dilengkapi lebih 1,500 GPU Nvidia H200 yang mampu memberikan prestasi pengkomputeran sebanyak 115 petaFLOPS, bersamaan lebih 100 kuadrilion pengiraan sesaat.

Menurut Teo, superkomputer baharu itu turut membolehkan penyelidik membangunkan pendekatan pemodelan iklim termaju yang menggabungkan AI dan simulasi berasaskan fizik bagi menghasilkan ramalan beresolusi lebih tinggi serta pemahaman iklim yang lebih tepat dan terperinci.

Beliau berkata keupayaan itu dapat membantu republik berkenaan menjangkakan hujan lebat dan peningkatan paras air laut lebih awal, selain merancang pembangunan bandar dan pertahanan pantai dengan lebih berkesan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement