WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan baharu ke atas Iran pada Rabu, dengan alasan mahu memastikan Selat Hormuz kekal terbuka kepada aktiviti perkapalan.
Tindakan itu mencetuskan serangan balas Iran ke atas Kuwait dan Bahrain, sekali gus meningkatkan lagi ketegangan yang dilihat semakin menggagalkan usaha menamatkan perang.
Ketua perunding Iran, Mohammad Baqer Qalibaf menerusi hantaran di X pada Khamis memberi amaran bahawa sebarang serangan terhadap Iran akan dibalas.
“Amerika Syarikat masih belum belajar bahawa tindakan membuli dan memungkiri komitmen tidak lagi berlaku tanpa akibat. Biar saya jelaskan: jika kamu menyerang, kamu akan diserang,” katanya.
Qalibaf turut menegaskan, Selat Hormuz hanya akan dibuka semula berdasarkan aturan Iran, dan bukannya menerusi ugutan Amerika Syarikat.
Pertukaran serangan terbaharu itu dilihat semakin memalapkan harapan untuk menjadikan memorandum persefahaman yang ditandatangani pada 17 Jun sebagai perjanjian tetap bagi menamatkan perang.
Konflik berkenaan bermula pada 28 Februari susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.
Ditanya sebelum Sidang Kemuncak NATO di Turkiye pada Rabu sama ada memorandum persefahaman itu sudah berakhir, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata beliau menganggapnya telah tamat dan tidak lagi mahu berurusan dengan Iran