Skip to main content

Dunia

Putera Arab Saudi disahkan maut dalam bilik hotel mewah London akibat campuran alkohol, dadah

Sumber: SAUDI OLYMPIC & PARALYMPIC COMMITTE
Abdullah bin Fahad bin Abdullah bin Abdulaziz bin Jalawi Al Saud, 29, keturunan Kerabat Al-Saud, yang mempunyai hubungan dengan dinasti pemerintah Arab Saudi. - Gambar/ Saudi Olympic & Paralympic Committee

INKUES koroner di United Kingdom mengesahkan kematian anggota keluarga diraja Arab Saudi yang ditemukan meninggal dunia di dalam bilik hotel mewah di Kensington, London, berpunca daripada serangan jantung yang dikaitkan dengan pengambilan pelbagai jenis dadah dan alkohol.

Abdullah bin Fahad bin Abdullah bin Abdulaziz bin Jalawi Al Saud, 29, ditemukan tidak sedarkan diri di bilik air sebuah hotel Marriott di barat London pada 25 November tahun lalu.

Menurut prosiding inkues di Mahkamah Koroner Inner West London, Abdullah mendaftar masuk ke hotel itu pada 19 November untuk penginapan selama seminggu.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan beliau kali terakhir dilihat pada malam sebelum kematiannya ketika keluar untuk merokok.

Bagaimanapun, keesokan harinya seorang petugas pembersihan yang memasuki bilik di tingkat lima menemui beliau dalam keadaan berpakaian lengkap dan terbaring di lantai bilik air.

Pihak keselamatan hotel dan ambulans dipanggil ke lokasi, namun usaha menyelamatkan beliau gagal sebelum beliau disahkan meninggal dunia.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa laporan toksikologi mendapati kandungan alkohol dalam darahnya mencecah 222 miligram bagi setiap 100 mililiter darah, jauh melebihi had pemanduan di bawah pengaruh alkohol di United Kingdom iaitu 80 miligram.

Selain itu, beliau turut didapati mempunyai paras tinggi Gamma-hydroxybutyrate (GHB), sejenis dadah yang sering dikaitkan dengan penyalahgunaan rekreasi.

Laporan toksikologi turut mengesan kandungan ganja, alprazolam atau Xanax pada tahap penggunaan rekreasi serta beberapa ubat antidepresi lain pada dos terapeutik.

Mahkamah diberitahu bahawa Abdullah sebelum ini mempunyai sejarah bergelut dengan ketagihan alkohol dan penggunaan Xanax.

Beliau pernah menerima rawatan sebagai pesakit dalam di The Priory Clinic, Roehampton, London pada Ogos tahun lalu, sebuah pusat rawatan pemulihan yang terkenal di United Kingdom.

Must Watch Video

Advertisement