Skip to main content

Dunia

Punch sambut ulang tahun pertama, zoo Jepun terima lebih 2,500 kad ucapan

Japan Monkey Birthday_AP
Haiwan yang tular itu sebelum ini mencuri perhatian masyarakat antarabangsa selepas dikesan sering memeluk patung orang utan keluaran IKEA sebagai sumber ketenangan selepas ditinggalkan ibunya sejurus dilahirkan. -Gambar fail/AP

TOKYO: Punch, anak monyet spesies makaka Jepun yang mencetuskan fenomena global di media sosial, bakal menyambut ulang tahun kelahiran pertamanya esok apabila zoo di Bandar Ichikawa menerima lebih 2,500 kad ucapan daripada peminat di seluruh dunia.

Haiwan yang tular itu sebelum ini mencuri perhatian masyarakat antarabangsa selepas dikesan sering memeluk patung orang utan keluaran IKEA sebagai sumber ketenangan selepas ditinggalkan ibunya sejurus dilahirkan.

Pegawai zoo, Takashi Yasunaga, berkata Punch kini berada dalam keadaan sihat dan membesar dengan baik, selain semakin menyesuaikan diri untuk bermain dengan anak monyet lain di kawasan kurungan bukit batu itu.

Katanya, Punch juga semakin kurang bergantung kepada patung mainan berkenaan dan mula berinteraksi dengan monyet lain, selain membina kedudukannya sebagai sebahagian daripada kumpulan primat tersebut.

Populariti luar biasa anak monyet itu turut meningkatkan jumlah pengunjung domestik dan antarabangsa ke zoo berkenaan, yang sebelum ini hanya menerima beberapa ratus pelawat sehari pada hari biasa.

Bagaimanapun, pihak pengurusan zoo memutuskan untuk tidak mengadakan sebarang sambutan khas secara terbuka esok bagi mengelakkan kawasan zoo menjadi terlalu sesak, selain memastikan kebajikan dan emosi haiwan itu tidak terganggu.

 

Must Watch Video

Advertisement