SEOUL: Morse Tan, seorang profesor Korea-Amerika di Liberty University disoal siasat oleh pihak polis berhubung dakwaan memfitnah Presiden Lee Jae Myung, menurut barisan peguam yang mewakilinya pada Jumaat.
Profesor dari Amerika Syarikat itu menjalani sesi soal siasat tertutup selama dua jam pada Khamis, menurut peguamnya.
Tan didakwa membuat kenyataan palsu dalam satu sidang media di Amerika Syarikat tahun lepas dengan mendakwa bahawa Lee pernah terbabit dalam kes pembunuhan ketika remaja dan dihantar ke pusat tahanan juvana atas kesalahan itu.
"Kami yakin soal siasat lanjut tidak akan dilakukan ," kata barisan peguam yang mewakilinya dalam satu kenyataan kepada media.
Tan pada asalnya dijadualkan disoal siasat pada Rabu, namun beliau meminta jadual itu diubah atas alasan bimbang akan liputan media.
Selepas memasuki negara itu pada 28 Mei bagi memerhati pilihan raya tempatan yang diadakan pada 3 Jun, Tan gagal mematuhi beberapa saman terdahulu yang dikeluarkan oleh polis.
Susulan itu, polis memohon larangan perjalanan terhadap profesor berkenaan, manakala Kementerian Kehakiman sebelum ini menghalangnya daripada meninggalkan negara itu sehingga Selasa.
-- BERNAMA-YONHAP