Skip to main content

Dunia

Pemeriksaan tapak nuklear Iran bergantung hasil rundingan dengan AS

Kazem Gharibabadi
Kazem Gharibabadi (foto) berkata kebenaran bagi pemeriksaan tersebut bergantung kepada tindakan pihak lawan, khususnya dalam menamatkan sepenuhnya sekatan ekonomi terhadap Tehran. -Gambar fail

GENEVA: Iran menegaskan akses pemeriksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke tapak nuklear yang diserang hanya akan diputuskan dalam rangka perjanjian akhir bersama Amerika Syarikat (AS).

Timbalan Menteri Luar, Kazem Gharibabadi berkata kebenaran bagi pemeriksaan tersebut bergantung kepada tindakan pihak lawan, khususnya dalam menamatkan sepenuhnya sekatan ekonomi terhadap Tehran.

Dalam hantaran di platform X, beliau turut menegaskan isu pemeriksaan itu hanya akan diselesaikan sebagai sebahagian daripada perjanjian menyeluruh dengan AS, dan bukan secara berasingan.

 

 

"Isu-isu ini hanya akan diperiksa dan diselesaikan dalam kerangka perjanjian akhir, dan hasil daripada tindakan praktikal pihak lawan dalam menamatkan semua sekatan," tulisnya.

Gharibabadi juga memaklumkan bahawa sepanjang rundingan damai di Switzerland, tiada pegawai Iran mengadakan pertemuan dengan Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi, meskipun terdapat permintaan daripada pihak agensi itu.

"Di Switzerland, tiada sebarang pertemuan diadakan dengan Grossi, meskipun ada permintaan daripada pihaknya.

"Begitu juga, tiada sebarang program untuk memberikan akses ke kemudahan yang diserang serta bahan-bahan nuklear," tulis Gharibabadi.

Sebelum ini, Grossi menyatakan pemeriksaan ke atas kemudahan nuklear Iran dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Sama ada perkara ini berlaku hari ini, lusa, dalam masa seminggu atau 10 hari lagi, ia tetap akan berlaku,” katanya.

Kenyataan itu mencerminkan pendirian Iran yang mengaitkan kerjasama lanjut dalam isu pemantauan nuklear dengan tuntutan penghapusan sekatan.

Perkembangan tersebut menunjukkan rundingan masih berdepan cabaran, dengan kedua-dua pihak belum mencapai kesepakatan menyeluruh mengenai langkah susulan dalam isu nuklear.

Must Watch Video

Advertisement