KAHERAH: Qatar menjangkakan pengeluaran gas asli cecair (LNG) negara itu akan kembali ke tahap normal "dalam tempoh beberapa minggu," kata Perdana Menteri Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani dalam wawancara bersama Financial Times yang diterbitkan pada Rabu, menurut agensi berita Jerman (dpa).
Beliau berkata, satu-satunya pengecualian ialah Kemudahan Gas Ras Laffan yang mengalami kerosakan akibat serangan Iran semasa perang dan terbaru akibat satu letupan.
"Pasukan kami digerakkan sejak beberapa minggu lepas," kata Sheikh Mohammed.
Syarikat tenaga milik negara, QatarEnergy sedang membuat persiapan untuk menyambung semula operasi seperti biasa sebaik sahaja keadaan di Selat Hormuz kembali stabil, katanya.
Bagaimanapun, status force majeure bagi penghantaran LNG yang digantung hanya akan ditarik balik "apabila syarikat yakin semua isu ditangani dan operasi boleh dijalankan dengan selamat."
Force majeure merujuk kepada kejadian luar jangka yang berada di luar kawalan pihak yang terlibat dalam kontrak.
Ia termasuk peperangan, bencana alam atau pandemik, yang boleh menyebabkan sesuatu perkhidmatan tidak dapat disediakan sepenuhnya atau langsung tidak dapat dilaksanakan.
Pengisytiharan itu secara sah membebaskan pihak dalam kontrak daripada obligasi penghantaran.
Qatar merupakan antara pengeluar LNG terbesar dunia dan lazimnya memenuhi kira-kira satu perlima daripada permintaan global.
Susulan perang AS-Israel dengan Iran, pengeluaran dan eksport LNG dari negara Teluk itu melalui Selat Hormuz dihentikan.
Perang itu bermula hampir empat bulan lepas susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.
Rundingan sedang dijalankan bagi mencapai perjanjian muktamad untuk menamatkan perang selepas persetujuan rangka kerja dicapai, yang turut memperuntukkan pemulihan semula aktiviti perkapalan melalui Selat Hormuz.
--BERNAMA-dpa