Skip to main content

Bisnes

Di sebalik pasaran modal: Trustee jadi ‘safety net’ pelabur

Amanah Raya Trustees
Institusi trustee berperanan sebagai ‘jaring keselamatan’ dalam pasaran modal dengan memastikan pematuhan, perlindungan aset pelabur dan tadbir urus yang telus serta berintegriti.

KUALA LUMPUR: Dalam ekosistem pasaran modal, perhatian lazimnya lebih tertumpu kepada penerbit, pelabur atau pengurus dana.

Namun, di sebalik setiap transaksi dan struktur pelaburan, terdapat satu institusi yang memainkan peranan penting dalam memastikan kepentingan pelabur terus terpelihara iaitu trustee atau pemegang amanah.  

Ketua Pegawai Eksekutif AmanahRaya Trustees Berhad, Zainudin Suhaimi berkata, institusi trustee bertindak sebagai ‘safety net’ atau jaring keselamatan yang memastikan setiap struktur pelaburan beroperasi secara telus, berintegriti dan mematuhi semua obligasi yang telah dipersetujui.  

Menurut beliau, peranan trustee tidak hanya terhad kepada memegang aset, sebaliknya melaksanakan fungsi pengawasan fidusiari (fiduciary oversight) melalui tiga tanggungjawab utama iaitu memastikan pematuhan terhadap syarat-syarat transaksi, melindungi aset pelabur serta memperkukuh tadbir urus dalam setiap struktur pelaburan.  

“Institusi pelabur hari ini semakin menilai kekuatan kerangka tadbir urus sebelum membuat keputusan pelaburan. Dalam konteks itu, trustee menjadi pihak bebas yang membantu memperkukuh keyakinan pasaran dengan memastikan kepentingan semua pihak berkepentingan terus dipantau,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, dalam pasaran hutang seperti sukuk dan bon, trustee memantau sama ada penerbit memenuhi segala terma dan obligasi yang dipersetujui termasuk pembayaran, kedudukan cagaran serta hak pemegang sukuk atau bon.

Dalam pengurusan dana pula, trustee memastikan aset dana diasingkan daripada aset pengurus dana bagi mengelakkan konflik kepentingan serta memastikan mandat pelaburan dipatuhi.  

Zainudin berkata, evolusi pasaran modal yang kini melibatkan instrumen lebih kompleks termasuk sukuk, pembiayaan berstruktur, pelaburan berasaskan ESG dan aset digital menjadikan fungsi trustee semakin strategik berbanding sebelum ini. 

 

 

 

Katanya, setiap struktur pelaburan moden memerlukan pemantauan lebih menyeluruh terhadap aliran tunai, pematuhan syarat pembiayaan, pengurusan cagaran serta mekanisme yang diaktifkan sekiranya berlaku pelanggaran obligasi.

“Institusi pelabur hari ini turut memberi penekanan kepada kekuatan tadbir urus sebelum membuat keputusan pelaburan. Dalam konteks itu, trustee berperanan sebagai pihak bebas yang membantu meningkatkan keyakinan pasaran kerana wujud mekanisme semak dan imbang yang berterusan,” katanya. 

Mengulas lanjut, Zainuddin berkata ketika pasaran berdepan ketidaktentuan ekonomi global termasuk tekanan kadar faedah dan volatiliti, elemen perlindungan pelabur serta tadbir urus menjadi semakin penting dalam memastikan pasaran modal terus berfungsi dengan teratur.  

Sekiranya berlaku pelanggaran perjanjian atau kegagalan obligasi pembayaran, jelas beliau, trustee mempunyai tanggungjawab untuk mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan kuasa yang diperuntukkan dalam dokumen transaksi termasuk membantu proses penyelesaian dan penstrukturan semula secara telus dan teratur.  

Mengulas perkembangan pasaran modal yang semakin menjurus kepada ESG, kewangan mampan dan pendigitalan, Zainudin berkata, institusi trustee perlu menjadi lebih responsif dan adaptif bagi memenuhi keperluan struktur pelaburan yang semakin kompleks.  

Menurutnya, walaupun prinsip asas trustee kekal sama iaitu melindungi kepentingan pihak berkepentingan serta memastikan integriti tadbir urus, institusi berkenaan perlu terus memperkukuh keupayaan dan proses pemantauan selari dengan perkembangan teknologi serta perubahan keperluan kawal selia.  

Beliau menegaskan, ‘safety net’ dalam pasaran modal bukan sekadar berfungsi ketika berlaku krisis, sebaliknya menjadi mekanisme penting yang mewujudkan keyakinan bahawa setiap struktur pelaburan mempunyai sistem semak dan imbang yang kukuh sejak dari awal.  

“Komitmen kami adalah untuk terus memainkan peranan sebagai institusi trustee yang dipercayai dalam menyokong pertumbuhan pasaran modal Malaysia agar terus berkembang secara mampan, berintegriti dan diyakini oleh semua pihak berkepentingan,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement