Skip to main content

Politik

PRN Johor: Cuba heret Istana dalam politik, Pemuda UMNO Johor buat laporan polis terhadap Puad Zarkashi

[TB]_1_Fitri Astro AWANI
Noor Azleen bercakap kepada media, selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sri Alam, di sini. - Foto Astro AWANI/Fikri

JOHOR BAHRU: Kesemua 26 Bahagian Pergerakan Pemuda UMNO di Johor membuat laporan polis terhadap Datuk Mohd Puad Zarkashi pada Khamis, susulan dakwaan kenyataan beliau yang melampaui batas dan menyentuh isu sensitif melibatkan 3R (Agama, Bangsa, dan Institusi Diraja).

Tindakan itu diambil susulan kenyataan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu yang mempersoalkan proses pemilihan calon Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dan mendakwa UMNO Johor hanya boneka kepada Istana Johor.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambrose berkata, pergerakan itu kurang selesa dengan alasan yang diberikan, khususnya apabila kenyataan tersebut dilihat melibatkan institusi penting dalam konteks politik.

“Kami kurang selesa dengan alasan yang diberikan, terutamanya apabila kenyataannya dilihat mengheret institusi diraja dalam isu politik yang sepatutnya diselesaikan dalam kalangan ahli politik.

“Kami melihat ada unsur cubaan menghasut serta mengaitkan institusi diraja dengan isu politik di negeri ini,” katanya kepada media, selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sri Alam, di sini.

Awal hari ini, Mohd Puad mengumumkan keluar UMNO serta-merta dan menyatakan ketidakpuasan terhadap beberapa keputusan parti, termasuk berkaitan senarai calon dan proses pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor.

Susulan itu, Pengerusi Barisan Nasional Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan proses pembubaran dibuat mengikut peruntukan perlembagaan negeri.

“Pembubaran perlu melalui proses yang ditetapkan dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan. Ia merupakan proses perlembagaan dan tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa tindakan Mohd Puad itu berkait dengan ketidakpuasan terhadap pemilihan calon bagi PRN Johor.

Menurut beliau, antara isu yang dibangkitkan termasuk tuntutan agar individu tertentu, termasuk anak Puad sendiri, diberi peluang untuk bertanding.

Asyraf Wajdi menegaskan bahawa keputusan pemilihan calon merupakan hak mutlak parti dan ditentukan oleh pucuk pimpinan, justeru sebarang rasa tidak puas hati sepatutnya disalurkan melalui saluran dalaman parti, bukannya dibawa secara terbuka.

Dalam pada itu, Noor Azleen berkata laporan polis dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh.

“Kami serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan adil mengikut undang-undang sedia ada,” katanya lagi.

Must Watch Video

Advertisement