Skip to main content

Malaysia

Istiadat pelantikan Undang Luak Rembau ke-22 disempurnakan Sabtu ini

[TB] Tunku Ali_Awani
Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz, menerima menghadap Dato’-Dato’ Adat Luak Rembau di Istana Besar Seri Menanti, pada Khamis. - Gambar/ Astro AWANI

KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan mengadakan Istiadat Mengadap Menjunjung Duli bagi menyempurnakan Kejadian Undang Luak Rembau pada Sabtu ini.

Perkara itu dizahirkan oleh Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz, dalam titah baginda ketika menerima menghadap Dato’-Dato’ Adat Luak Rembau di Istana Besar Seri Menanti, pada Khamis.

Menurut titah baginda, Istiadat Menghadap Menjunjung Duli Bagi Menyempurnakan Kejadian Undang Luak Rembau akan berlangsung jam 2 petang Sabtu di Istana Besar Seri Menanti.

“Saya difahamkan bahawa pemilihan penyandang Pesaka Dato’ Undang Luak Rembau telah dilaksanakan mengikut adat yang terpakai dan diamalkan dalam Luak Rembau.

“Saya ingin sampaikan titah perkenan Ayahanda saya Tuanku Muhriz yang berkenan mengadakan Istiadat Mengadap Menjunjung Duli Bagi Menyempurnakan Kejadian Undang Luak Rembau.

“Bagi urusan dan persiapan istiadat tersebut, Dato’-Dato’ (Adat) bolehlah berbincang dengan Orang Empat Istana. Saya doakan segala urusan istiadat berjalan lancar,” titah baginda.

Terdahulu, dalam istiadat berkenaan, rombongan Dato’-Dato’ Adat Luak Rembau menjunjung duli menghadap dengan membawa tepak sireh sebelum baginda menzahirkan titah berkaitan proses pelantikan Undang Luak Rembau yang baharu.

Istiadat Kejadian Undang Luak Rembau yang akan berlangsung Sabtu ini merupakan kemuncak proses adat dalam pelantikan Undang Luak Rembau selaras dengan amalan Adat Perpatih di Negeri Sembilan.

Sementara itu, Pengerusi Kerapatan Buapak Lapan Kampung Waris Biduanda Nan Dua Carak, Dato' Juan, Datuk Zulkipli Shamsudin berkata, kerapatan Buapak dan Ibu Soko di Luak Rembau telah sebulat suara memilih pesara guru Hassan Ab Hamid, 67, sebagai Undang Luak Rembau ke 22.

“Duli Yang Maha Mulia tidak memanggil, tidak memilih dan tidak melantik mana-mana pihak atas kehendak baginda sendiri dan sebarang kenyataan yang menggambarkan sebaliknya merupakan salah faham terhadap adat yang telah mengatur Negeri Sembilan sejak berkurun-kurun lamanya.

“Pihak kerapatan Buapak dan Ibu Soko di Luak Rembau telah mengadakan kerapatan dan telah memilih di dalam kerapatan sebanyak dua kali Kampung Tanjung sebagai benih di mana akan zahirnya Undang Luak Rembau ke-22,” katanya ketika ditemui selepas istiadat berkenaan.

Pemilihan Undang Luak Rembau mula menjadi pertikaian selepas penyandangnya, Datuk Lela Maharaja Muhamad Sharip Othman, 83, meninggal dunia akibat sakit tua pada 15 Mei lalu 2024 lalu.

Pemilihan Undang di Negeri Sembilan dipilih daripada calon-calon daripada Suku Biduanda yang merupakan suku asal di negeri itu.

Terdapat 12 suku dalam sistem Adat Perpatih di Negeri Sembilan.

Must Watch Video

Advertisement