Skip to main content

Dunia

Indonesia tolak pinjaman IMF dan Bank Dunia, yakin ekonomi kekal kukuh

purbaya yudhi sadewa -- Reuters
Purbaya Yudhi Sadewa berkata keputusan tersebut dibuat berdasarkan petunjuk ekonomi semasa, termasuk rizab domestik yang mencukupi untuk menghadapi ketidaktentuan global. -Gambar fail/Reuters

JAKARTA: Kerajaan Indonesia menolak tawaran pinjaman bernilai berbilion dolar daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia kerana yakin kedudukan fiskal serta ekonomi makro negara itu kekal kukuh, lapor ANTARA.

Menteri Kewangan Indonesia, Purbaya Yudhi Sadewa berkata keputusan tersebut dibuat berdasarkan petunjuk ekonomi semasa, termasuk rizab domestik yang mencukupi untuk menghadapi ketidaktentuan global.

Beliau berkata Indonesia ketika ini mempunyai simpanan dana mencukupi menerusi lebihan baki anggaran hampir AS$25 bilion (kira-kira Rp428 trilion) untuk memenuhi keperluan negara.

“Tawaran dana kecemasan itu amat kami hargai, namun situasi ekonomi kami masih di bawah kawalan,” katanya.

IMF sebelum ini menawarkan kemudahan talian kredit antara AS$20 bilion hingga AS$35 bilion sebagai langkah berjaga-jaga bagi membantu negara membangun menghadapi ketidaktentuan pasaran kewangan global.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Indonesia menegaskan reformasi struktur ekonomi yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu telah memperkukuh daya tahan sistem kewangan negara.

Langkah menolak pinjaman tersebut juga mencerminkan pendekatan kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada hutang luar, selain mengoptimumkan sumber pembiayaan domestik dalam menghadapi turun naik ekonomi global.

Must Watch Video

Advertisement