KUALA LUMPUR: Parti Wawasan Negara (WAWASAN) mengesahkan tidak akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya memberi tumpuan untuk menyertai PRN Negeri Sembilan.
Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kepentingan perpaduan dalam kalangan parti-parti pembangkang, selain mahu mengelakkan pertembungan yang boleh memecahkan sokongan rakyat.
Beliau berkata, WAWASAN akan menyokong calon-calon yang diputuskan Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding di Johor.
“Kita akan menyokong barisan calon-calon yang kita rasa layak untuk menguruskan negeri Johor pada masa hadapan.
“Saya mahu melihat perpaduan di kalangan semua parti-parti yang ada dalam perkara ini. Jangan berpecah. Kalau tidak mahu berpecah, dengar dulu suara rakyat,” katanya dalam satu sidang media, di sini, pada Khamis.
Tambah Hamzah, Johor mempunyai kedudukan strategik sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara, justeru pemilihan wakil rakyat perlu dibuat dengan teliti.
“Johor ini penting, Johor sebuah negeri yang besar. Sebab itu kita fikir untuk kepentingan rakyat di sini (Johor), biarlah calon yang dipilih itu mereka yang mampu untuk meneruskan perjuangan demi masa depan rakyat Johor.
“Johor Insya-Allah akan menjadi salah satu tonggak kepada kebangkitan ekonomi Malaysia pada masa akan datang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Hamzah mengesahkan WAWASAN akan menyertai PRN Negeri Sembilan selepas proses penjenamaan parti selesai.
“Yang itu pasti, kita akan menyertai PRN Negeri Sembilan,” katanya ketika menjawab soalan pengamal media.