BUENOS AIRES: Rakyat Argentina meraikan ulang tahun kelahiran Lionel Messi dengan cara tersendiri apabila mereka membanjiri jalanan dan media sosial bagi menyanyikan lagu “Happy Birthday” buat bintang bola sepak itu yang genap berusia 39 tahun pada Rabu.
Didorong prestasi luar biasanya di pentas Piala Dunia, kempen di bawah tanda pagar #CumpleLEO yang dilancarkan stesen televisyen tempatan, Telefe, mengajak rakyat negara itu menyanyikan lagu tersebut pada jam 10 pagi dan 10 malam waktu tempatan - merujuk kepada nombor jersi ikonik ‘10’ yang dipakai kapten Argentina itu.
Di seluruh negara, pelbagai lapisan masyarakat termasuk kumpulan rakan di gimnasium, pelajar sekolah, pekerja premis perniagaan serta penduduk setempat tampil mengibarkan bendera Argentina sambil merakam ucapan istimewa buat Messi.
“Terima kasih atas segala kegembiraan dan kerana mewakili Argentina di peringkat tertinggi. Selamat hari lahir, juara!” demikian antara ucapan yang dikongsi sekumpulan pekerja dari sebuah pusat jualan kereta di wilayah Buenos Aires.
Dalam masa sama, sekumpulan peminat turut berkumpul di Obelisk, mercu tanda ikonik di pusat bandar Buenos Aires, bagi menunjukkan sokongan mereka.
Seorang peminat, Ruben Acosta, 71, berkata, dia berada di lokasi tersebut seawal jam 6 pagi.
“Saya cintakan Messi. Dia seperti dari galaksi lain. Messi, anda luar biasa. Anda bukan dari planet ini,” katanya.
Presiden Argentina, Javier Milei, turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat hari lahir kepada Messi menerusi akaun X miliknya dengan mesej: “SELAMAT HARI LAHIR L10NEL...!!! VAMOS ARGENTINA...!!!”.
Messi, pemenang Ballon d'Or sebanyak lapan kali terus mencipta sejarah apabila muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam kejohanan Piala Dunia pada Isnin lalu, selain meledak lima gol dalam dua perlawanan setakat ini.
Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni pula menyampaikan ucapan ringkas namun bermakna buat tonggak utama pasukannya itu.
“Saya cuma mahu dia bahagia,” katanya. - Agensi