Skip to main content

Malaysia

Mekanik rempuh polis bakal didakwa memandu bawah pengaruh alkohol

KUCHING, 25 Jun -- Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah ditemui pemberita pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini._BERNAMA
Mohamad Zainal berkata siasatan melibatkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol masih berjalan dan polis akan memfailkan pertuduhan tambahan itu mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan sebaik sahaja keputusan laporan kimia diterima.

KUCHING: Seorang mekanik yang merempuh sekatan jalan raya (SJR) dan melanggar pegawai polis bertugas di Jalan Padungan, dekat sini pada Sabtu lepas bakal berdepan pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata siasatan melibatkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol masih berjalan dan polis akan memfailkan pertuduhan tambahan itu mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan sebaik sahaja keputusan laporan kimia diterima.

Selasa lepas, lelaki tempatan berusia 29 tahun itu dijatuhi hukuman penjara 27 bulan oleh Mahkamah Kuching atas kesalahan merempuh SJR dan melanggar seorang pegawai kanan polis ketika operasi cegah jenayah.

“Bukan sahaja bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol malah suspek telah didakwa atas beberapa kesalahan lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, di sini hari ini.

Dalam kejadian awal pagi 20 Jun lepas, seorang pegawai kanan polis cedera di bahagian kaki selepas dilanggar seorang lelaki tempatan yang bertindak merempuh SJR di Jalan Padungan.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu dalam kenyataan berhubung kejadian itu, memaklumkan saringan awal air kencing mendapati lelaki itu juga positif dadah amphetamine, methamphetamine, ketamine dan benzodiazepine serta mempunyai enam rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement