Skip to main content

Malaysia

Pertahanan negara diperkasa melalui Pelan Strategik Pertahanan Negara dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan

MCMU: MINDEF, pesawat
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika hadir pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pertahanan Negara dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan 2026-2030 hari ini. - Foto MINDEF

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini melancarkan Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) 2026-2030 sebagai pelan tindakan bagi memperkukuh keupayaan dan kesiapsiagaan pertahanan negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kedua-dua dokumen itu merupakan hasil penggemblengan idea dan kepakaran pelbagai pihak di MINDEF, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta rakan strategik kementerian.

Image
MCMU: MINDEF, pesawat
Khaled ketika mengunjungi pameran Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) 2026-2030 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur hari ini. - Foto MINDEF

Beliau berkata, PSPN dibangunkan bagi memastikan perancangan pertahanan negara lebih responsif dan adaptif dalam menghadapi perubahan landskap keselamatan global yang semakin kompleks.

“Ketidaktentuan geopolitik dunia, perkembangan teknologi disruptif seperti kecerdasan buatan (AI) dan ancaman bukan bersenjata yang semakin kompleks menuntut kita mempunyai perancangan pertahanan yang lebih tersusun dan pragmatik,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran PSPN dan RTKP di sini, hari ini.

Khaled berkata, PSPN 2026-2030 akan terus menyokong pelaksanaan Kertas Putih Pertahanan menerusi tujuh teras strategik yang merangkumi aspek kesiagaan ATM, pembangunan kapasiti pertahanan, kesejahteraan warga pertahanan dan veteran, serta pengukuhan hubungan pertahanan antarabangsa.  

Image
MCMU: MINDEF, pesawat
Khaled bersama Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Datuk Malek Razak Sulaiman, (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali (kanan) melancarkan Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) 2026-2030. - Foto MINDEF

Pelan itu turut memberi penekanan kepada budaya pemantauan prestasi dan akauntabiliti menerusi sistem pemantauan bersepadu supaya setiap peruntukan dan inisiatif dapat diukur impaknya.

“Keyakinan tidak dibina melalui pengumuman. Ia mesti dibina melalui pelaksanaan dan impak yang nyata. Rakyat perlu melihat bahawa setiap projek dan dasar yang dirancang menghasilkan impak yang jelas dan boleh diukur,” katanya.

Beliau berkata, pelancaran RTKP pula bertujuan memastikan negara mempunyai kapasiti dan sumber yang mencukupi untuk merealisasikan sasaran yang digariskan dalam PSPN.

“Jika PSPN menentukan ke mana kita ingin pergi, RTKP pula memastikan kita mempunyai keupayaan untuk sampai ke sasaran tersebut,” katanya.

Menurutnya, kapasiti yang dimaksudkan meliputi aspek kewangan, modal insan, kepimpinan, kompetensi profesional, kepakaran teknologi, penyelidikan dan inovasi serta penyelarasan merentasi agensi kerajaan dan ekosistem pertahanan.

Dalam masa sama, beliau menegaskan Malaysia akan terus memperkukuh saluran diplomasi pertahanan dan berpegang teguh kepada prinsip berkecuali serta tidak berpihak dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik semasa.

Katanya, pertahanan negara juga tidak lagi boleh dipikul oleh Kementerian Pertahanan semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan melibatkan seluruh kerajaan dan masyarakat menerusi konsep Whole-of-Government dan Whole-of-Society (WOGOS) serta Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).  

Beliau berkata, kementerian juga akan meneruskan agenda pemodenan ATM mengikut jadual, termasuk penerimaan aset strategik seperti Unmanned Aircraft System (UAS) ANKA MALE, Fighter Lead In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT-LCA), Maritime Patrol Aircraft (MPA) dan Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2.

Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada pembangunan keupayaan pertahanan masa hadapan melalui penerapan teknologi AI, pengukuhan pertahanan siber, peperangan elektronik dan keupayaan satelit pertahanan negara.

Beliau turut memberi jaminan bahawa aspek kebajikan anggota dan veteran ATM akan terus menjadi keutamaan menerusi pelbagai inisiatif termasuk pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), kemudahan kesihatan serta program peningkatan kebolehpasaran veteran.

“PSPN dan RTKP adalah dua dokumen dasar yang melambangkan komitmen negara untuk memastikan Malaysia mempunyai sebuah angkatan yang moden, sentiasa bersedia dan mampu mempertahankan kepentingan nasional dalam apa jua keadaan,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement