Skip to main content

Dunia

Piala Dunia 2026: Iran dakwa sekatan di lapangan terbang AS "kacau" persiapan pasukan

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Group G - Belgium v Iran - Los Angeles Stadium, Inglewood, California, U.S. - June 21, 2026 Iran players pose for a team group photo before the match REUTERS/Matthew Childs
FFIRI mendakwa, pegawai penganjur di Amerika Syarikat telah “menyulitkan perjalanan” pemain penyerang Mehdi Taremi dan penolong jurulatih Saeed Alhoei, sekali gus menyebabkan kelewatan kepada delegasi pasukan itu yang dalam perjalanan ke Seattle bagi menghadapi Mesir dalam saingan Piala Dunia 2026. - Gambar Reuters

TEHRAN: Persekutuan Bola Sepak Iran (FFIRI) mendakwa, pegawai penganjur di Amerika Syarikat (AS) telah “menyulitkan perjalanan” pemain penyerang Mehdi Taremi dan penolong jurulatih Saeed Alhoei, sekali gus menyebabkan kelewatan kepada delegasi pasukan itu yang dalam perjalanan ke Seattle bagi menghadapi Mesir dalam saingan Piala Dunia 2026.

Agensi berita ISNA memetik kenyataan persekutuan itu melaporkan, anggota pasukan kini menunggu ketibaan semula Taremi dan Alhoei untuk menyertai kumpulan.

Insiden tersebut dilaporkan berlaku hanya beberapa hari selepas pihak berkuasa Amerika Syarikat melonggarkan sekatan perjalanan terhadap delegasi Iran susulan aduan Teheran dan pasukan bahawa peraturan kemasukan yang ketat sebelum ini menjejaskan persiapan mereka.

Bagaimanapun, punca sebenar kelewatan terbaharu itu masih belum dapat dipastikan dan pihak berkuasa Amerika belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi setakat ini.

Sebelum ini, pegawai Amerika Syarikat mewajibkan pasukan Iran yang berpangkalan di Tijuana, Mexico sepanjang kejohanan untuk memasuki negara itu hanya sejurus sebelum perlawanan dan meninggalkannya sebaik sahaja selepas aksi berakhir.

Jurulatih Iran, Amir Ghalenoei mengkritik pengaturan tersebut sebagai tidak adil, dengan menyatakan perjalanan berulang-alik merentasi sempadan menyebabkan pemain keletihan.

Namun, minggu ini, pihak berkuasa Amerika memberikan sedikit kelonggaran apabila membenarkan pasukan Iran tiba di Seattle dua hari lebih awal sebelum perlawanan menentang Mesir pada Jumaat, berbanding ketetapan lebih ketat sebelum ini.

Hubungan tegang antara Washington dan Teheran turut menambah sensitiviti politik terhadap penyertaan Iran dalam Piala Dunia dengan pasukan itu berdepan kawalan perjalanan serta aspek keselamatan yang lebih ketat sepanjang kejohanan. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement