Skip to main content

Dunia

Pasaran buruh Singapura berkembang, pekerjaan melonjak sebanyak 9,400

71743338134_TBsingapore.jpg
Pengangguran di Singapura kekal rendah dan stabil pada Mac 2026, dengan kadar keseluruhan pada 2.0 peratus. - Gambar fail

SINGAPURA: Pasaran buruh Singapura terus berkembang pada suku pertama 2026, dengan jumlah pekerjaan melonjak sebanyak 9,400, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM). 

Kementerian itu melalui satu kenyataan berkata, pengembangan tersebut telah dipacu oleh peningkatan pekerjaan pemastautin yang lebih kukuh sebanyak 5,400 pada suku pertama 2026, naik berbanding 3,100 pada suku sebelumnya, manakala pertumbuhan guna tenaga bukan pemastautin menjadi sederhana.

“Kenaikan dalam pekerjaan pemastautin diterajui oleh perkhidmatan pentadbiran dan sokongan serta pengangkutan dan penyimpanan, manakala pertumbuhan pekerjaan bukan pemastautin disokong oleh pembinaan dan pembuatan,” katanya.

Pengangguran kekal rendah dan stabil pada Mac 2026, dengan kadar keseluruhan pada 2.0 peratus, manakala kadar untuk pemastautin dan rakyat, masing-masing adalah 2.9 peratus serta 3.1 peratus.

Sementara itu, pemberhentian pekerja menokok kepada 3,830 atau 1.6 bagi setiap 1,000 pekerja menjelang suku pertama 2026 naik sedikit daripada suku keempat 2025 (3,690 atau 1.5 setiap 1,000 pekerja).

Kementerian itu ketika mengulas mengenai keadaan pasaran buruh menjangkakan ia kekal berdaya tahan, walaupun banyak syarikat mungkin menggunakan pendekatan yang lebih berhati-hati dalam pengambilan pekerja dan penawaran kenaikan gaji berikutan ketidaktentuan ekonomi global serta geopolitik yang semakin memuncak.

“Permintaan buruh berkemungkinan menjadi sederhana jika keadaan luaran semakin lemah dan kos input global pula terus bertambah,” katanya lagi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement