Skip to main content

Dunia

Pertubuhan Islam sambut baik rangka kerja perjanjian AS-Iran untuk tamatkan konflik

41690627893_OIC.jpg
OIC berharap perjanjian itu "dapat dilaksanakan sepenuhnya dan pihak-pihak berkepentingan akan mengambil bahagian secara serius dalam pusingan rundingan akan datang bagi menangani semua isu serta mengekalkan keselamatan dan kestabilan di rantau ini."

ISTANBUL: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Isnin menyambut baik Memorandum Persefahaman (MoU) antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran untuk menamatkan konflik mereka serta memulihkan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz, lapor  Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu kenyataan, pertubuhan yang berpangkalan di Jeddah itu memuji peranan yang dimainkan oleh Pakistan dan Qatar, bersama-sama negara lain yang membantu merapatkan jurang perbezaan antara Washington dan Tehran sekali gus mewujudkan keadaan yang kondusif untuk mencapai perjanjian itu. 

OIC turut menzahirkan harapan agar perjanjian itu "dapat dilaksanakan sepenuhnya dan pihak-pihak berkepentingan akan mengambil bahagian secara serius dalam pusingan rundingan akan datang bagi menangani semua isu serta mengekalkan keselamatan dan kestabilan di rantau ini."

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, yang negaranya menerajui usaha pengantaraan antara Washington dan Tehran mengumumkan pada awal Isnin bahawa AS dan Iran telah mencapai persetujuan susulan rundingan intensif, dengan kedua-dua pihak turut mengisytiharkan penamatan segera dan kekal terhadap operasi ketenteraan di semua barisan hadapan, termasuk di Lubnan.

Perjanjian berkenaan dijadual ditandatangani di Switzerland pada Jumaat ini.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement