PUTRAJAYA: Malaysia dan Uzbekistan bersetuju memperkukuh kerjasama perniagaan-kepada-perniagaan (B2B) dalam sektor pertanian sebagai langkah menterjemahkan hubungan strategik kedua-dua negara kepada hasil ekonomi yang lebih nyata.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan, perkara itu dipersetujui semasa pertemuan dua hala antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pertanian Uzbekistan, Ibrokhim Abdurakhmonov sempena lawatan kerja rasmi beliau ke Tashkent.
KPKM memaklumkan, kedua-dua pihak berpandangan bahawa penglibatan aktif syarikat serta pemain industri pertanian dari kedua-dua negara penting bagi melengkapkan hubungan kerajaan-kepada-kerajaan (G2G) yang sedia terjalin, khususnya dalam meneroka peluang perdagangan dan pelaburan baharu.
"Kedua-dua negara bersetuju untuk mewujudkan jawatankuasa bagi meneliti peluang pelaburan dan perdagangan dalam sektor pertanian," demikian menurut kenyataan.
KPKM memaklumkan, Malaysia dan Uzbekistan turut bersetuju memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor pertanian dan agromakanan dengan memberi tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI), pertanian pintar, akuakultur serta pelaburan bagi meningkatkan keterjaminan makanan kedua-dua negara.
Menurut kenyataan itu, antara bidang utama dikenal pasti ialah kerjasama dalam AI, pertanian digital, pengurusan air mampan dan teknologi pintar sebagai pemacu pembangunan pertanian masa hadapan.
KPKM memaklumkan, dalam sektor akuakultur dan perikanan, kedua-dua pihak mengenal pasti potensi besar untuk memperluaskan kerjasama teknikal, pelaburan dan pemindahan teknologi.
"Malaysia yang mempunyai kekuatan dalam bidang akuakultur, pengeluaran makanan laut serta sistem kawalan kualiti termasuk industri udang bersedia untuk berkongsi kepakaran dan amalan terbaik dengan Uzbekistan," menurut kenyataan itu.
Selain itu, KPKM memaklumkan, Malaysia turut berkongsi pengalaman dalam penggunaan teknologi biofloc yang berjaya meningkatkan produktiviti akuakultur di kawasan terhad, sekali gus menawarkan penyelesaian berpotensi untuk menyokong pembangunan industri perikanan Uzbekistan.
"Pihak Uzbekistan turut menyatakan minat untuk mendapatkan kepakaran, teknologi dan pelaburan dari Malaysia bagi memperkukuh sektor perikanan negara tersebut, meningkatkan bekalan makanan domestik serta menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan serantau," menurut kenyataan itu.
KPKM memaklumkan, Mohamad turut mengalu-alukan kerjasama antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Centre of Knowledge and Innovation in Agriculture (AKIS) Uzbekistan yang sedang dalam perbincangan untuk memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang penyelidikan dan pembangunan pertanian.
"Kerjasama ini dijangka membuka ruang kepada pertukaran saintis, pelaksanaan penyelidikan bersama, pembangunan teknologi pertanian serta inovasi yang mampu meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor agromakanan kedua-dua negara," menurut kenyataan itu.
Sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi itu, KPKM memaklumkan, Mohamad turut merasmikan pelancaran operasi Meraque Group di Uzbekistan, sekali gus menandakan kejayaan syarikat teknologi pertanian Malaysia menembusi pasaran Asia Tengah.
"Hubungan perdagangan produk pertanian dan agromakanan antara Malaysia dan Uzbekistan terus menunjukkan perkembangan positif dengan nilai perdagangan mencecah RM338.48 juta bagi tempoh Januari hingga Disember 2025," menurut kenyataan itu.
KPKM memaklumkan, selain itu Mohamad turut menjemput Uzbekistan menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 Sept ini.
Mohamad mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja rasmi ke Tashkent atas jemputan Menteri Pertanian Uzbekistan, Ibrokhim Abdurakhmonov.
Lawatan itu turut merangkumi penyertaan Mohamad dalam Tashkent International Investment Forum (TIIF) 2026 yang akan dirasmikan oleh Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev esok.
-- BERNAMA