MOSCOW: Perancis bersama-sama beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) yang lain akan meminta secara rasmi supaya Suruhanjaya Eropah mengambil semua langkah yang mungkin bagi menghalang import barangan dari petempatan haram Israel di Tebing Barat ke Eropah, kata Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot pada Isnin, lapor Sputik/RIA Novosti. .
"Hari ini, bersama-sama beberapa negara lain, kami akan meminta Suruhanjaya Eropah secara rasmi untuk melakukan segala yang mungkin bagi menghalang import dari petempatan haram di Tebing Barat.
"Kami tidak boleh membiarkan Eropah menyokong aktiviti haram secara langsung atau tidak langsung melalui perdagangan yang menjejaskan peluang keamanan antara Israel dan Palestin," katanya setibanya di Mesyuarat Menteri-Menteri Luar EU di Luxembourg.
Menurut Barrot, Perancis menyokong usaha meningkatkan sekatan terbaharu terhadap peneroka haram Israel yang diumumkan oleh beberapa negara individu sebelum ini ke peringkat pan-Eropah.
"Kami mahu sekatan ini diterima pakai di peringkat Eropah bagi menghantar mesej yang jelas: Eropah tidak akan bertolak ansur dengan lonjakan keganasan serta penerusan aktiviti petempatan tanpa kawalan di Tebing Barat, yang mengancam peluang keamanan di Asia Barat," katanya.
Pada 9 Jun lepas, Perancis, United Kingdom dan beberapa negara lain mengenakan sekatan ke atas 26 individu, termasuk Menteri Kewangan Israel Bezalel Smotrich, berhubung aktiviti petempatan Israel.
Aktiviti petempatan Israel di Tebing Barat kekal menjadi punca utama pertikaian dengan komuniti antarabangsa dan Pihak Berkuasa Palestin. Rakyat Palestin menyifatkan perkara itu sebagai dasar untuk mengukuhkan penguasaan rejim Zionis di wilayah mereka.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI